Sabtu, 2 Disember 2017 | 11:34pm
GAYA penyerang Barcelona berasal dari Uruguay, Luis Suarez meraikan gol jaringannya pada saingan La Liga di Nou Camp, sebentar tadi. - Foto Reuters

Celta Vigo ikat Barcelona

MADRID: Celta Vigo muncul kelab La Liga pertama mengutip mata di Nou Camp apabila mengikat pendahulu, Barcelona 2-2 pada aksi penuh mengujakan, malam tadi.

Iago Aspas meletakkan Celta di depan seawal minit ke-20 namun Barca yang mendapat inspirasi Lionel Messi pantas menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Bintang Argentina itu kemudian membantu meletakkan tuan rumah di depan selepas gerakannya menjadi pemangkin kepada jaringan Luis Suarez pada babak kedua.


PEMAIN tengah Celta, Stanislav Lobotka (kanan) mengekang pemain tengah Barcelona berasal dari Brazil, Paulinho pada saingan La Liga di Nou Camp, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Begitupun, Aspas turut membuktikan kemampuannya apabila gerakan yang dimulakannya berjaya disempurnakan Maxi Gomez, 20 minit sebelum permainan berakhir ketika Barca kehilangan Samuel Umtiti akibat kecederaan.

"Kami adalah Barcelona dan kami mahu menang setiap perlawanan tetapi ia adalah sesuatu mustahil," kata pengendali Barca, Ernesto Valverde.

"Hari ini kami mencatat keputusan seri apabila kami memperoleh lebih banyak peluang untuk menang, tetapi perjalanan liga masih panjang, bukan hanya satu perlawanan."

Celta membuktikan mereka pasukan yang ingin dielak Barca sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas menewaskan kelab Catalan itu sekali dalam tempoh semusim selama tiga musim.


PEMAIN pertahanan Barcelona, Jordi Alba (tengah) mengasari penyerang Celta Vigo, Iago Aspas pada saingan La Liga di Nou Camp, sebentar tadi. - Foto Reuters

Bos kelab dengan jolokan Galicians itu, Juan Carlos Unzue tidak asing di Nou Camp apabila dia pernah menghabiskan masa selama tiga tahun selaku pembantu Luis Enrique.

"Barca memperoleh lebih banyak peluang tetapi saya fikir dengan kami benar-benar menguji (Marc-Andre) Ter Stegen (Penjaga gol Barca)," kata Unzue.

"Ia adalah keputusan yang baik untuk kami dan saya fikir kami layak untuk mendapatkan satu mata."

Kegagalan Barca untuk meraih tiga mata membuka peluang buat Real Madrid dan Atletico Madrid yang beraksi lebih lewat untuk merapatkan jurang kepada enam mata jika menang ke atas lawan masing-masing. - AFP


GAYA Messi (tengah) selepas menjaringkan gol ketika menentang Celta Vigo pada aksi La Liga di Stadium Nou Camp, sebentar tadi. - Foto Reuters


PENYERANG Barcelona, Lionel Messi (tengah) dikekang empat pemain Celta Vigo pada saingan La Liga di Nou Camp, sebentar tadi. - Foto AFP


GAYA pemain Celta berasal dari Uruguay, Maxi Gomez selepas meledak gol pada saingan La Liga di Nou Camp, sebentar tadi. - Foto Reuters

651 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »