Selasa, 5 Disember 2017 | 9:31pm
DUA pemain import baharu, Thierry Chantha Bin dari Kemboja (Dua dari kiri) dan Kim Hyeon Woo dari Korea Selatan (Tiga dari kanan) bergambar selepas menandatangani kontrak setahun bersama Terengganu FC I (TFC I) di Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT). - Foto Faizul Azlan Razak
DUA pemain import baharu, Thierry Chantha Bin dari Kemboja (Dua dari kiri) dan Kim Hyeon Woo dari Korea Selatan (Tiga dari kanan) bergambar selepas menandatangani kontrak setahun bersama Terengganu FC I (TFC I) di Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT). - Foto Faizul Azlan Razak

Hyeon Woo, Thierry lengkap kouta

KUALA TERENGGANU: Bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Kim Hyeon Woo dan Thierry Chantha Bin melengkapkan perpindahan ke Terengganu FC I (TFC I) dengan menandatangani kontrak selama setahun.

Dua pemain import itu, masing-masing dari Korea Selatan dan Kemboja dikhabarkan akan mengemudi jentera tengah Skuad Penyu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Naib juara Liga Perdana musim ini turut diperkuatkan tiga lagi awang import iaitu bekas pemain import Negeri Sembilan kelahiran England, Lee Andrew Tuck, Igor Zonjic dari Serbia dan penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre.

Ketua jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata pasukannya kini boleh menumpukan sepenuhnya kepada latihan selepas melengkapkan lima kuota awang import musim depan.

Beliau yang juga pengurus pasukan berkata, kemungkinan besar ada kemasukan seorang lagi pemain tempatan yang pernah bersamanya sebelum ini.

"Lima kuota pemain import pasukan TFC I musim 2018 sudah lengkap sepenuhnya apabila mereka mengikat kontrak setahun kecuali Andrew Tuck selama dua musim.

"Kita mungkin membawa masuk seorang lagi pemain untuk mengisi kekosongan slot pemain tempatan jika perbincangan mencapai kata putus," katanya selepas menandatangani kontrak Thierry dan Hyeon Woo di Pejabat PBSNT, hari ini.

Irfan Bakti berkata, pihaknya kini sedang menunggu kehadiran Zonjic ke negara ini kerana pemain pertahanan itu perlu menghabiskan dua baki perlawanan bersama kelabnya, FK Rad dalam Liga Serbia.

"Pasukan sudah mula menjalani latihan pra musim petang semalam dan saya jangkakan semua pemain import termasuk Zonjic yang masih bermain di Liga Serbia akan menyertai TFC I pertengahan bulan ini.

"Kita akan mempersiapkan pasukan untuk kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Januari depan," katanya.

Berita Harian X