Khamis, 7 Disember 2017 | 10:58am
TFC I mengikat bekas pemain FELDA United, Hasnizaidi Jamian bagi mengukuhkan lagi posisi pertahanan kanan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Acid kembali 'berguru' dengan Irfan

KUALA TERENGGANU: Pendatang baharu Liga Super, Terengganu FC I (TFC I) kian bernafsu apabila mengikat bekas pemain FELDA United, Hasnizaidi Jamian bagi memantapkan lagi pasukan itu.

Pemain berusia 27 tahun dari Johor itu menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad Penyu dan kehadiran pemain yang lebih mesra dipanggil Acid itu akan mengukuhkan lagi posisi pertahanan kanan yang sebelum ini diisi Firdaus Faudzi yang berhijrah ke PKNS.

"Walaupun mendapat tawaran dua lagi pasukan iaitu satu Liga Super dan Liga Perdana, tapi langkah memilih pasukan TFC I adalah keputusan yang tepat demi kerjaya saya dalam sukan ini.

"Keputusan ini tidak membabitkan tawaran lumayan tapi keinginan untuk berguru dengan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim membuatkan saya menolak tawaran pasukan lain," kata Hasnizaidi yang mengakui selesa dengan corak latihan Irfan.


BEKAS pemain FELDA United, Hasnizaidi Jamian (kiri) menandatangani kontrak selama setahun bersama TFC I. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Sebelum berhijrah ke Terengganu, Hasnizaidi pernah berguru dengan Irfan selama tiga tahun ketika menyarung jersi FELDA United selain pernah berbakti dengan pasukan negeri kelahirannya iaitu pasukan Johor FC dan JDT II.

Ketika ditanya impiannya bersama TFC I, Hasnizaidi tanpa berselindung mengakui mahu disenaraikan dalam kesebelasan utama walaupun bukan satu tugas yang mudah apatah lagi Irfan terkenal dengan ketegasannya.

"Bagi saya walaupun Irfan sudah mengetahui corak permainan saya tapi itu bukan tiket dan jaminan buat saya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama jika gagal memperagakan aksi terbaik terutama ketika sesi latihan apatah lagi akan disaingi pemain lain termasuk Kamal Azizi Zambri.

"Justeru apa yang penting saya perlu bekerja lebih keras selain mahu membalas kepercayaan jurulatih yang membawa saya beraksi bersama pasukan TFC I musim depan.

"Saya harap impian untuk membantu TFC I meraih sekurang-kurangnya satu trofi dan ketiga dalam saingan liga akan tercapai selain bertekad untuk mengintai pintu skuad kebangsaan," katanya.

1364 dibaca
Berita Harian X