Khamis, 7 Disember 2017 | 1:04pm
VINCENT Aboubakar meledak dua gol ketika membantu FC Porto membenam Monaco 5-2 pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

Dua gol Aboubakar julang Porto ke peringkat kalah mati

LISBON: Vincent Aboubakar meledak dua gol babak pertama untuk mengemudi kemenangan 5-2 FC Porto ke atas AS Monaco di Stadium Dragao awal pagi tadi sekali gus memastikan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Penyerang prolifik Cameroon itu mengumpul 17 gol setakat ini dalam semua pertandingan dalam perlawanan berat sebelah itu yang mana kedua-dua pasukan beraksi 10 pemain selepas pemain Porto, Felipe dan pemain Monaco, Rachid Ghezzal dibuang padang kerana bergaduh pada minit ke-38.

Menyedari kemenangan akan menjamin tempat mereka sebagai naib juara Kumpulan G, perasaan bimbang Porto pantas terhakis apabila Aboubakar menyambar lorongan Yacine Brahimi selepas hanya sembilan minit.


VINCENT Aboubakar (kiri) merembat leret di bawah badan penjaga gol Monaco, Diego Benaglio untuk gol kedua FC Porto, awal pagi tadi. - Foto EPA

Penyerang itu berada pada prestasi mengagumkan, sekali lagi meledak masuk pada minit ke-33 apabila dia meluru di sebelah kiri kotak penalti lawan dan merembat leret di bawah badan penjaga gol, Diego Benaglio bagi gol kelimanya dalam kempen Liga Juara-Juara.

Monaco, yang kalah pada final 2004 di tangan kelab Portugal itu, mengingati kekalahan 0-3 itu apabila Aboubakar menjadi pengumpan gol ketiga sumbangan Brahimi sebaik sebelum rehat.

Kapten Monaco, Kamil Glik membalas satu gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-61 namun pertahanan Porto dari Brazil, Alex Telles merembat masuk kencang dari jarak 25 meter empat minit kemudian.

Radamel Falcao menanduk masuk gol sagu hati pada minit ke-78 menentang bekas kelabnya sebelum Tiquinho Soares menyumbat satu lagi gol buat tuan rumah menerusi tandukan dua minit sebelum tamat.


PEMAIN Porto, Felipe (dua dari kanan) dan pemain Monaco, Rachid Ghezzal (kanan) dilayangkan kad merah kerana bergaduh. - Foto REUTERS

Kemenangan itu membolehkan Porto mengutip 10 mata di belakang juara kumpulan Besiktas, yang melonjak 14 mata selepas kemenangan 2-1 di RB Leipzig menyaksikan kelab pendatang baru dari Jerman itu terlepas tangga ketiga dengan hanya tujuh mata.

Bagi penyerang Monaco, Falcao, ia saat indah kembali ke Dragao, yang mana dia menang enam trofi bersama Porto.

"Bagi saya, seronok pulang ke sini dan beraksi kembali. Ia bagaikan rumah saya kerana saya menang banyak trofi di sini," kata pemain Colombia itu. - Reuters

646 dibaca
Berita Harian X