Jumaat, 8 Disember 2017 | 7:50am
PEMAIN Atalanta, Alejandro Gomez (kanan) dan pemain Lyon, Rafael bersaing pada aksi Liga Europa di Stadium Mapei, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

Atalanta kekal rekod tanpa kalah

PARIS: Gol awal Andrea Petagna menyaksikan Atalanta mengekalkan rekod tanpa kalah pada peringkat kumpulan Liga Europa apabila menewaskan Lyon 1-0, awal pagi tadi manakala AC Milan dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di tangan Rijeka di Croatia.

Atalanta, yang masih segar dengan kejayaan membelasah Everton 5-1 dua minggu lalu, mengetepikan Lyon bagi menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan E dengan bekas penyerang Milan, Petagna menjaringkan gol keempatnya musim ini pada minit ke-10.


PEMAIN Lyon, Mouctar Diakhaby (kiri) mengasak pemain Atalanta, Andrea Petagna pada aksi Liga Europa di Stadium Mapei, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Pelawat gagal mencari gol penyamaan biarpun menurunkan skuad terbaik yang diperkuatkan dengan kehadiran Memphis Depay, Nabil Fekir dan Mariano Diaz.

Lyon diundi berdepan salah satu pasukan yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara termasuk Atletico Madrid dan Napoli.

Sementara itu, Everton mencatat kemenangan kedua dalam dua perlawanan di bawah kendalian pengurus baharu, Sam Allardyce apabila membenam Apollon Limassol 3-0 di Cyprus biarpun bekas bos England itu tidak menyertai pasukan kerana menjalani pemeriksaan kesihatan.

Penyerang Ademola Lookman, 20, meledak dua gol manakala Nikola Vlasic menjaringkan gol ketiga sekali gus menyelamatkan maruah Everton daripada menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan.

"Ia sesuatu yang positif (di bawah kendalian Sam Allardyce). Latihan yang berbeza, taktikal yang berbeza. Saya seronok," kata Lookman.


REAKSI ketua jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini ketika pertemuan menentang Lyon pada saingan Liga Europa di Stadium Mapei, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

"Sebelum ini, tahap keyakinan pemain tidak seperti ini. Kami semakin yakin untuk terus melakukan yang terbaik."

Dalam satu lagi perlawanan, Gennaro Gattuso masih menunggu kemenangan pertama sebagai jurulatih Milan selepas tewas 0-2 di tangan Rijeka.

Milan bagaimanapun menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan D manakala Rijeka terlepas peluang menyertai kelab Itali itu ke pusingan 32 terakhir selepas AEK Athens memintas kedudukan di tangga kedua hasil keputusan seri tanpa jaringan dengan Austria Vienna. - AFP


PEMAIN Atalanta, Andrea Petagna (dua dari kanan) meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan pada saingan Liga Europa di Stadium Mapei, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

256 dibaca
Berita Harian X