Jumaat, 8 Disember 2017 | 6:38pm
KELIBAT Shahrel Fikri Md Fauzi yang turut berlatih bersama PKNP FC sejak seminggu lalu mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat adakah penyerang berkenaan mengambil keputusan kekal bersama kelab itu? - Foto Muhaizan Yahya
KELIBAT Shahrel Fikri Md Fauzi yang turut berlatih bersama PKNP FC sejak seminggu lalu mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat adakah penyerang berkenaan mengambil keputusan kekal bersama kelab itu? - Foto Muhaizan Yahya

Shahrel nafi buat pusingan U

KUALA LUMPUR: Kelibat Shahrel Fikri Md Fauzi yang turut berlatih bersama PKNP FC di Stadium Mini 1Malaysia, Chemor, Perak, sejak seminggu lalu mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat adakah penyerang berkenaan mengambil keputusan kekal bersama kelab itu?

Ia diperkukuhkan pula dengan perkembangan terbaru PKNP yang dinaikkan pangkat bertanding dalam Liga Super, musim depan bagi mengisi slot yang dikosongkan oleh FELDA United dan Terengganu FC II (TFC II).

Namun, Shahrel pantas mematikan segala persoalan itu dengan membulatkan tekad untuk meninggalkan PKNP sekalipun peluang beraksi dalam liga utama kini lebih terbuka luas untuknya jika kekal bersama kelab berkenaan.

"Saya turut gembira bila PKNP berpeluang bermain dalam Liga Super musim depan. Ia memang rezeki yang tidak disangka-sangka.

"Tapi, ia tidak sesekali akan mengubah keputusan saya untuk meninggalkan kelab itu serta mencari pengalaman baharu dengan pasukan lain.

"Malah, PKNP pun sudah merestui pemergian saya, cuma sekarang perbincangan antara kelab itu dengan pasukan baharu yang bakal saya sertai masih berjalan," katanya.

SHAHREL Fikri Md Fauzi (kanan) membulatkan tekad untuk meninggalkan PKNP FC sekalipun peluang beraksi dalam liga utama kini lebih terbuka luas untuknya jika kekal bersama kelab berkenaan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SHAHREL Fikri Md Fauzi (kanan) membulatkan tekad untuk meninggalkan PKNP FC sekalipun peluang beraksi dalam liga utama kini lebih terbuka luas untuknya jika kekal bersama kelab berkenaan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Menurut Shahrel, pada dasarnya kedua-dua pihak sudah mencapai 90 peratus persetujuan kecuali beberapa perkara sebelum ia dimuktamadkan.

Shahrel yang juga penjaring terbanyak PKNP pada musim ini dengan 20 gol dalam semua pertandingan, yakin keputusan akan dicapai selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Jadi, selagi saya belum sah menyertai pasukan baharu, saya masih pemain PKNP kerana kontrak saya bersama mereka sehingga penghujung 2019.

"Atas sebab itu saya tetap turun menjalani latihan bersama PKNP biarpun bakal meninggalkan mereka. Ini tanggungjawab saya sebagai pemain yang masih di bawah kelab itu.

"Lagipun, ia bagus untuk meningkatkan kecergasan saya selepas baru pulih daripada kecederaan pangkal paha kiri yang saya alami semasa menyertai latihan skuad kebangsaan tidak lama dulu," ujar Shahrel.

Meskipun masih berahsia mengenai pasukan yang bakal disertainya, namun spekulasi mengaitkan perpindahannya ke kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), cuma tidak pasti adakah dia akan mewakili pasukan utama atau JDT II.

Berita Harian X