Selasa, 12 Disember 2017 | 11:11am
PENGURUS Inter, Luciano Spalletti secara berterusan dibandingkan dengan bekas pengendali, Jose Mourinho yang menjulang tiga kejuaraan semusim bersama kelab itu
PENGURUS Inter, Luciano Spalletti secara berterusan dibandingkan dengan bekas pengendali, Jose Mourinho yang menjulang tiga kejuaraan semusim bersama kelab itu

Spalletti segan dibandingkan dengan Mourinho

MILAN: Bos Inter Milan, Luciano Spalletti mengakui 'malu' apabila dia secara berterusan dibandingkan dengan bekas pengendali yang menjulang tiga kejuaraan semusim bersama kelab itu, Jose Mourinho.

Anak buah Spalletti setakat ini adalah pasukan yang belum tewas dalam kempen Serie A musim ini dan menghuni tangga teratas liga dengan kelebihan satu mata mengatasi Napoli.

Juara enam kali, Juventus pula ketinggalan dua mata di belakang menghuni tangga ketiga.

Pengurus Manchester United, Mourinho menjulang Inter tiga gelaran Liga Juara-Juara, Serie A dan Piala Itali pada 2010 dan memenangi gelaran liga di kelab itu pada 2009.

INTER (jersi biru) adalah pasukan yang belum tewas dalam kempen Serie A setakat ini dan menghuni tangga teratas liga. - Foto AFP
INTER (jersi biru) adalah pasukan yang belum tewas dalam kempen Serie A setakat ini dan menghuni tangga teratas liga. - Foto AFP

"Kamu perlu menghentikannya. Saya baru berada di sini selama dua hari dan dia sudah mencipta sejarah bersama Inter," kata Spalletti menjelang aksi Piala Itali menentang kelab Serie C, Pordenone di San Siro awal pagi nanti.

"Sedikitpun saya tidak layak menandinginya, jadi tolonglah saya sedikit: Jangan letakkan saya hampir setaraf dengannya. Mourinho juga tahu," kata Spalletti.

Ini adalah musim pertama Spalletti bersama Inter tetapi dia sudah dua kali menjulang Piala Itali bersama AS Roma pada 2007 dan 2008 selain dua gelaran Liga Perdana Russia bersama Zenit St Petersburg.

Spalletti berkata dia menjangkakan perlawanan yang sukar menentang Pordenone di peringkat 16 terakhir selepas kelab itu membuat kejutan dengan menyingkirkan kelab Serie A, Cagliari pada pusingan sebelumnya.

"Pordenone menghadirkan bahaya yang sebenar. Kami menyaksikan mereka pada perlawanan menentang Cagliari dan kami semua tahu betapa bagusnya pasukan Cagliari, betapa sukarnya kami melawan mereka."

Perlawanan peringkat 16 terakhir Piala Itali adalah antara perlawanan yang perlu diharungi Inter sepanjang Disember termasuk enam perlawanan Serie A. - AFP

Berita Harian X