Selasa, 12 Disember 2017 | 1:02pm
KUALITI Olivier Giroud sebagai penyerang utama Arsenal diakui dan percaya pemain sepertinya akan diberikan lebih peluang ketika jadual padat yang perlu diharungi bulan Disember ini. - Foto Reuters

Giroud bikin Wenger 'pening' pilih pemain

LONDON: Olivier Giroud menjadi penyelamat Arsenal untuk mengutip satu mata menentang Southampton, minggu lalu tetapi adakah ia sudah cukup untuk memberikannya penampilan sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di West Ham United tetap menjadi persoalan.

Penyerang Perancis berusia 31 tahun itu keluar daripada bangku simpanan buat kali ke-13 musim ini sebelum menanduk masuk jaringan penyamaan lewat permainan bagi memastikan skuad kendalian Arsene Wenger pulang dari Stadium St Mary dengan pungutan mata.

Ketika ramai mengatakan keputusan seri sebagai buruk, kegagalan Liverpool untuk menewaskan Everton serta kekalahan Manchester United di tangan Manchester City bermakna Gunners bernasib baik kerana tidak kehilangan rentak dalam pemburuan kedudukan empat terbaik.


OLIVIER Giroud menjadi pemain simpanan buat kali ke-13 musim ini menggantikan Alexandre Lacazette. - Foto Reuters

Arsenal ketika ini kekal ketinggalan satu mata dan satu kedudukan di belakang Liverpool yang menghuni tangga keempat liga tetapi keputusan di Southampton membuktikan mereka memiliki pelan kedua.

Danny Welbeck yang seperti Giroud dikeluarkan daripada bangku simpanan turut menawarkan pendekatan yang berbeza bagi jentera serangan Arsenal ketika Alexandre Lacazette bergelut untuk merobek gawang The Saints.

Persembahan yang ditampilkan Jack Wilshere ketika menggantikan Granit Xhaka turut mengesahkan dia juga sedang memburu tempat dalam kesebelasan utama.


OLIVIER Giroud (no 12) menanduk masuk jaringan penyamaan lewat permainan bagi memastikan Arsenal pulang dengan pungutan mata. - Foto Reuters

"Saya fikir ia menunjukkan kekuatan skuad kami," kata Wilshere yang turut memuji kualiti Giroud sebagai penyerang utama dan percaya pemain sepertinya akan diberikan lebih peluang ketika jadual padat yang perlu diharungi bulan ini.

"Bagi saya Oli (Giroud) adalah seorang penyerang terbaik di EPL ketika dia beraksi atau ketika dia dimasukkan selaku pemain gantian, jadi ia menunjukkan apa yang kami miliki.

"Ada banyak perlawanan pada Disember jadi saya yakin dia akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan jika dia disenarai dan menjaringkan gol, ia adalah sesuatu yang hebat buat pasukan dan gol ketika melawan Southampton adalah penting buatnya."


PERSEMBAHAN Jack Wilshere juga mengesahkan dia mahu mendapat lebih banyak peluang bermain selepas ini. - Foto AFP

Sering bergelut dengan masalah kecergasan sejak permulaan musim, Wilshere juga mengesahkan dia mahu mendapat lebih banyak peluang bermain selepas ini.

"Saya menikmati permainan dan saya mahu bermain sebanyak yang mungkin," kata Wilshere. "Saya pernah berkata sebelum ini yang saya terlalu rindukan bola sepak." - AFP

568 dibaca
Berita Harian X