Selasa, 12 Disember 2017 | 7:43pm

Arsenal, PSG berentap di Piala Supermokh

KUALA LUMPUR: Kejohanan Jemputan Antarabangsa Piala SuperMokh yang menjadi medan terbaik buat pemain masa depan negara mendapatkan pendedahan antarabangsa akan membuka tirainya mulai esok hingga Ahad ini.

Penganjuran yang memasuki edisi keempat itu membabitkan penyertaan pemain bawah umur turut menyaksikan perubahan format apabila hanya 24 pasukan bagi tiga kategori dipertandingkan kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), Safirul Azli Abu Bakar menuntut pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang akan menggalas cabaran negara dalam kejohanan itu memperagakan aksi terbaik masing-masing.

"Cabaran negara akan digalas oleh pasukan elit AMD. Pemain wajar mengambil kesempatan ini bersaing dengan pemain yang berpotensi menjadi bintang dunia dan ia peluang terbaik mengukur kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

"Setiap kategori akan membariskan pasukan akademi dari Eropah dan Asia dengan reputasi pasukan terbabit dalam menghasilkan bintang dunia sudah terbukti.

"Pemain tempatan hanya perlu memberikan persembahan terbaik dan memanfaatkan pengalaman ini sebaiknya," kata Safirul yang mengesahkan pembabitan pasukan akademi dari England, Arsenal FC yang terkenal dalam melahirkan pemain bertaraf dunia.

Sementara itu, Safirul turut mengakui bahawa pihak penganjur terpaksa menolak permintaan banyak pasukan yang ingin menyertai Piala SuperMokh pada edisi kali ini.

"Sambutan kali ini begitu menggalakkan apabila berjaya menarik minat akademi di seluruh dunia untuk turut serta.

"Bagaimanapun, kami terpaksa bersikap selektif dalam memilih pasukan yang bertanding bagi mengekalkan standard kejohanan dan memastikan saingan kompetitif buat pemain tempatan kerana itu adalah objektif utama pertandingan ini."

Juara bertahan kategori bawah 12 tahun, Sporting CP akan kembali membuat kemunculan bagi mempertahankan kejuaraan dan turut disertai wakil Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) yang akan mengisi dua slot peringkat umur bawah 13 dan 14 tahun.

Akademi Sporting CP dikenali sebagai kilang melahirkan pemain Portugal bertaraf dunia seperti Cristiano Ronaldo, Luis Figo, Nani dan Ricardo Quaresma.

PSG pula dikenali sebagai tapak permulaan kerjaya bagi pemain Perancis seperti Nicolas Anelka dan Mamadou Sakho.

Berbeza dengan edisi sebelumnya, penganjuran Piala SuperMokh tahun ini mengekalkan kategori bawah 12 (B-12) tahun dan kategori B-14 manakala kategori B-13 pula diperkenalkan semula dengan lapan pasukan akan berentap merebut kejuaraan bagi setiap kategori.

Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dipilih sebagai gelanggang pembukaan dan perlawanan akhir kejohanan.

Gelanggang lain iaitu Padang Sintetik Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam dan Akademi Maybank Bangi, melengkapkan senarai gelanggang kejohanan.

Perlawanan pertama ketiga-tiga kategori akan bermula esok dan akan diakhiri dengan perlawanan akhir Ahad ini.

Info

Pasukan yang bertanding

Kategori B-14 (generasi pemain tahun kelahiran 2003)

1. AMD Malaysia Cougars

2. AMD Malaysia Panthers

3. Paris Saint Germain (Perancis)

4. Arsenal FC (England)

5. FC Mito Hollyhock (Jepun)

6. Gyeongnam FC (Korea Selatan)

7. Aspire Academy (Qatar)

8. Foolad Sepahan (Iran)

Kategori B-13 (generasi pemain tahun kelahiran 2004)

1. AMD Malaysia Cougars

2. AMD Malaysia Panthers

3. Paris Saint Germain (Perancis)

4. AZ Alkmaar (Belanda)

5. Urawa Red Diamonds (Jepun)

6. Gyeongnam FC (Korea Selatan)

7. Buriram United (Thailand)

8. FF South Australia (Australia)

Kategori B-12 (generasi pemain tahun kelahiran 2005)

1. AMD Malaysia Cougars

2. AMD Malaysia Panthers

3. HNK Hajduk (Croatia)

4. Sporting CP (Portugal)

5. Kashima Antlers (Jepun)

6. JJ Football Academy (Korea Selatan)

7. Aspire Academy (Qatar)

8. FF South Australia (Australia)

Berita Harian X