Rabu, 13 Disember 2017 | 6:39pm
AKSI Pemain AMD Panthers, Muhammad Akmal Afnan Shahrizdzan (dua kanan) diasak pemain Paris Saint German (PSG) pada saingan Piala Supermokh 2017 di Bukit Jalil, pagi tadi. - Foto Hafiz Sohaimi

Malaysia Panthers buat PSG cemas

BUKIT JALIL: Gol sendiri Muhammad Akmal Afnan Shahridzan memusnahkan hajat wakil negara, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Malaysia Panthers melakukan kejutan ke atas akademi Paris Saint German (PSG) dalam aksi pertama bawah 14 (B-14) Piala Supermokh, hari ini.

Dalam aksi Kumpulan A di padang Majlis Sukan Negara (MSN) itu, skuad kendalian Mohd Armi Shariff itu bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-10 menerusi jaringan Ziad El Basheer Norhisham.

Bagaimanapun, lawan yang terkejut dengan jaringan itu kemudian bangkit melakukan serangan sebelum kesilapan Muhammad Akmal pada minit ke-35 membolehkan mereka mengikat kedudukan.

"Gol lawan terhasil kerana kesilapan komunikasi pemain. Malah kita ada beberapa peluang namun ia gagal disempurnakan dengan baik.

"Selain faktor fizikal dan cuaca panas, aspek teknikal pemain PSG juga mengatasi pemain saya. Apapun, ini satu pendedahan yang bagus buat kami dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan," kata Mohd Armi.

Sementara itu, juara bertahan AMD Malaysia Cougars bermula garang apabila membelasah wakil Qatar, Aspire Academy 4-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, keputusan itu belum mampu memuaskan hati pengendalinya, Ahmad Nurfaizal Abdullah yang menyifatkan aksi anak buahnya belum mencapai tahap terbaik.

"Kalau diikutkan, permainan hari ini belum memadai lagi, namun pemain cukup berdisiplin terutamanya ketika menyerang dan bertahan. Tahniah kepada pemain yang berusaha bersungguh-sungguh.

"Sudah pasti semua pasukan mahukan kemenangan, begitu juga kami dalam usaha mempertahankan kejuaraan. Apapun, aspek pembangunan perlu didahulukan dan lebih penting melihat peningkatan dari satu ke satu perlawanan," katanya.

Kesemua gol AMD Malaysia Cougars dijaringkan Mohamad Akif Afizi Ramzi pada minit kesembilan, Azannis Adzri Abdul Halim (m-18), Muhammad Faiz Amer Runnizar (m-20) dan Muhammad Danish Mohamad Zahir (m-25).

Gol tunggal Aspire Academy dijaringkan Jassem Mohammed Alsharshani pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti.

KEPUTUSAN PENUH

Bawah 12 tahun

Kumpulan A

Sporting CF 4-0 FF South Australia

AMD Malaysia Panthers 2-2 Kashima Antlers

Kumpulan B

HNK Hajduk Split 0-1 Aspire Academy

AMD Malaysia Cougars 5-1 JJ Football Academy

Bawah 13 tahun

Kumpulan A

AMD Malaysia Panthers 1-2 Buriram United

PSG 1-1 Urawa Red Diamond

Kumpulan B

AZ Alkmaar 8-0 Gyeongnam FC

AMD Malaysia Cougars 10-0 FF South Australia

Bawah 14 tahun

Kumpulan A

AMD Malaysia Panthers 1-1 PSG

Mito Hollyhock 5-0 Foolad Sepahan

Kumpulan B

Arsenal 4-1 Gyeongnam FC

AMD Malaysia Cougars 4-1 Aspire Academy

Berita Harian X