Khamis, 14 Disember 2017 | 2:00pm
PENGENDALI Kelantan, Sathit Bensoh. - Foto ihsan Media KAFA

Sathit yakin kemampuan pemain muda

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan, Sathit Bensoh yakin pemain mudanya mampu melonjak kembali prestasi skuad setanding pasukan berstatus elit lain dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Bekas jurulatih kelab Thailand, Satun United itu berkata, petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pengurusan pasukan akan direalisasikan terutama dengan komitmen tinggi pemain.

"Saya cukup yakin dengan penampilan pemain muda berbakat yang dipilih dari skuad Piala Presiden.

"Semua pemain sudah mula menjalani latihan dengan menumpukan aspek kecergasan fizikal dan kami sedang merancang untuk mengadakan kem latihan di satu tempat yang belum ditentukan lokasinya.

"Kelantan juga akan mewakili negara bagi merebut Piala Super Sportfix yang menyaksikan saingan tiga penjuru menentang dua pasukan liga utama dari Indonesia dan Thailand dari 13 hingga 20 Januari depan," katanya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai KPI ditetapkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Sathit berkata, beliau rela meletakkan jawatan jika tidak mampu merealisasikan sasaran itu kerana ia membabitkan soal maruah dan jati diri sebagai jurulatih profesional yang mesti bertanggungjawab dengan prestasi semasa pasukan.

"Namun saya yakin Kelantan boleh mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah kendalian saya dengan bantuan Yusri Che Lah."

Berita Harian X