Sabtu, 16 Disember 2017 | 5:27pm
Pemain AMD Cougars U14 Nur Iman Haikal Hearman diasak pemain PSG U14 Bodiang Mountanabi (kanan) pada pelawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala SuperMokh di Majlis Sukan Negara hari ini. AMD Cougars menang 1-0 dengan PSG. - Foto BERNAMA

Piala SuperMokh: 3 wakil negara mara final

[email protected]

KUALA LUMPUR: Akademi Mokhtar Dahari (AMD) membanggakan bola sepak negara apabila tiga pasukan, AMD Malaysia Cougars Bawah 12 tahun, B-13 dan B-14 layak ke perlawanan akhir Piala SuperMokh, esok.

Dalam saingan separuh akhir B-12 hari ini, AMD Malaysia Cougars menyingkirkan akademi kelab Jepun, Kashima Antlers 2-1 manakala AMD Malaysia Cougars B-13 dan B-14 menyingkirkan akademi kelab gergasi dunia, Paris Saint-Germain (PSG).

Skuad B-13 pula mengatasi PSG 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar, manakala pasukan B-14 kendalian Ahmad Nurfaizal Abdullah menang tipis 1-0 ke atas akademi dari Perancis itu.

Pada final esok, juara bertahan B-12 yang juga akademi kelab Portugal, Sporting CP bakal menjadi lawan terakhir AMD Malaysia Cougars, manakala B-13 dijadualkan menentang AZ Alkmaar dari Belanda.


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersalaman bersama pemain AMD Cougars U14 selepas pasukan itu berjaya menewaskan pasukan PSG U14 pada pelawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala SuperMokh di Majlis Sukan Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Dalam saingan B-14, anak buah Ahmad Nurfaizal menggalas dua misi berbeza iaitu membalas dendam kekalahan 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan dan merealisasikan impian mempertahankan kejuaraan apabila turun menentang akademi Arsenal.

"Puas hati kerana pemain beraksi seperti yang dirancang iaitu memberi tekanan di babak pertama sehingga mengganggu pasukan lawan. Pada babak kedua, kita paksa mereka buat hantaran jauh dan selepas itu kita berjaya memenangi bola.

"Saya akan lihat keadaan pemain terlebih dulu. Semua pasukan mahu menang dan kita juga sedang menuju ke arah itu (mempertahankan kejuaraan). Apa yang penting pemain semakin meningkat dan kekal konsisten," kata Ahmad Nurfaizal.

Keputusan separuh akhir

Bawah 12

Sporting CP 1-0 Aspire Academy

AMD Malaysia Cougars 2-1 Kashima Antlers

Bawah 13

PSG 1-1 AMD Malaysia Cougars

(AMD Malaysia Cougars menang penalti 4-2)

AZ Alkmaar 1-0 Buriram United

Bawah 14

PSG 0-1 AMD Malaysia Cougars

Arsenal 1-0 Foolad Sepahan

Berita Harian X