X
Isnin, 18 Disember 2017 | 12:55pm
PEMAIN tengah Leipzig, Kevin Kampl (kiri) dan Lukas Kloster mengekang penyerang Hertha Berlin, Davie Selke (tengah) pada saingan Bundesliga di Leipzig, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN tengah Leipzig, Kevin Kampl (kiri) dan Lukas Kloster mengekang penyerang Hertha Berlin, Davie Selke (tengah) pada saingan Bundesliga di Leipzig, awal pagi tadi. - Foto AFP

Hertha calar ego Leipzig

BERLIN: RB Leipzig tersisih daripada posisi empat tangga teratas Bundesliga selepas dikejutkan Hertha Berlin yang beraksi dengan 10 pemain, 2-3 di Red Bull Arena, awal pagi tadi.

Bekas penyerang Leipzig, Davie Selke menjadi watak pemusnah dengan menjaringkan dua gol sekali pun Hertha terpaksa beraksi kurang seorang pemain sejak di awal perlawanan.

Selke merembat masuk jaringan pembukaan Hertha seawal minit kelima tetapi kegembiraan pelawat hanya seketika apabila pertahanannya, Jordan Torunarigha secara kontroversi dibuang padang susulan pelanggaran dengan Timo Werner seminit kemudian.

Hertha enggan mengalah dan kembali mendahului 2-0 menerusi tandukan Salomon Kalou selepas setengah sejam perlawanan berlangsung.

Lima minit selepas babak kedua bersambung, Selke menjaringkan gol kedua peribadinya sebelum Leipzig bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke-68 menerusi jaringan Willi Orban.

Ketika perlawanan tampak berakhir tanpa tambahan jaringan, Marcel Halstenberg menyumbat masuk gol kedua tuan rumah pada masa kecederaan tetapi ia sudah terlewat.

Leipzig yang gagal untuk meraih sebarang kemenangan daripada empat aksi liga bulan ini terjerumus ke tangga kelima Bundesliga dan berkongsi mata dengan pasukan tangga keempat, Bayer Leverkusen.

Leverkusen dalam pada itu terpaksa berkongsi mata apabila diikat Hanover 4-4 sekali pun Leon Bailey menjaringkan dua gol.

Dimasukkan sebagai pemain gantian ketika pasukannya ketinggalan 2-3, Bailey menjaringkan dua gol yang hampir memberikan Leverkusen kemenangan tetapi dikecewakan oleh jaringan penyamaan Julian Korb.

"Ia perlawanan yang gila, dengan kedua-dua pasukan berjuang sejak minit pertama perlawanan," kata Bailey. "Kami sepatutnya meraih kemenangan tetapi kami tidak cukup fokus di depan gawang." - AFP

Berita Harian X