Rabu, 20 Disember 2017 | 11:08pm
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal beritahu PSM lulus permohonan dan sedang tunggu tindakan FMLLP. - Foto Hafiz Sohaimi

Selangor main di Stadium Nasional

KUALA LUMPUR: Selangor mendapat suntikan besar menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas dibenarkan menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi The Red Giants.

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, mereka sudah diberi lampu hijau oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan kini sedang menunggu kelulusan daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

"Selain memohon menggunakan Stadium Shah Alam, kami juga memohon menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah dan saya gembira untuk mengumumkan ia sudah pun mendapat kelulusan hari ini," kata Subahan ketika dihubungi.

"Saya berterima kasih kepada PSM terutama pengerusinya, Datuk Mohammad Sahfri Abd Aziz kerana memberi lampu hijau untuk menggunakan Stadium Nasional. Kami menerima surat mengenai perkara itu hari ini.

"Ia adalah satu penghormatan besar kepada kami dan saya rasa lega kerana negeri yang sepatutnya memberi sokongan kepada kami gagal berbuat demikian.

"Kami sudah mengemukakan permohonan sebanyak tiga kali tahun lalu dan sekali pada tahun ini untuk menggunakan Stadium Shah Alam tetapi ditolak.

"Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia di bawah kuasa Menteri Besar Selangor.

"Stadium Shah Alam dibina untuk Selangor tetapi peliknya mereka membenarkan PKNS dan pasukan lain beraksi di situ kecuali Selangor," katanya.

Subahan berharap FMLLP akan meluluskan penggunaan Stadium Nasional secepat mungkin.

"Kami sudah menghantar semua dokumen kepada FMLLP hari ini dan saya lihat tidak sepatutnya ada sebarang masalah lagi.

"Lagipun ini adalah Stadium Nasional dan saya yakin ia memenuhi kriteria yang dimahukan FMLLP seperti pencahayaan lampu dan sebagainya."

Musim ini Selangor menggunakan Stadium Selayang sebagai gelanggang rasmi.

Berita Harian X