Selasa, 26 Disember 2017 | 11:24am
AKSI Kalaiharasan (dua dari kanan) ketika menentang T-Team pada saingan Piala Malaysia 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 1 Ogos lalu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Kalaiharasan mahu pikat Steinebrunner

SEREMBAN: Bekas pelatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22), L Kalaiharasan bertekad untuk memikat pengendali Negeri Sembilan, Jorg Steinebrunner, bagi memastikan impiannya untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan itu sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018, tercapai.

Biarpun akui, persaingan antara pemain lain amat sengit terutama pemain lebih berpengalaman, namun pemain pertahanan tengah itu bersedia bekerja keras untuk memberikan prestasi terbaik sepanjang latihan.

"Sasaran saya adalah untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan sepanjang musim depan, walaupun saingan di kalangan pemain lain amat sengit, namun saya yakin berpeluang untuk mendapatkannya.

"Saya perlu menunjukkan tahap disiplin yang terbaik dan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi dalam persembahan kerana ia menjadi elemen yang mampu memikat jurulatih.

"Saya juga perlu mengetepikan sikap gemuruh atau rendah diri, sebaliknya perlu yakin kepada keupayaan sendiri kerana cabaran dalam Liga Super menuntut setiap pemain memperagakan aksi mantap," kata pemain kelahiran Port Dickson itu.

Kalaiharasan adalah antara empat pemain Piala Presiden Negeri Sembilan yang mendapat kepercayaan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila dinaikkan pangkat untuk menyertai skuad senior bagi mengharungi saingan Liga-M musim 2018.

Bekas kapten Piala Presiden itu bertekad untuk memanfaatkan sebaik mungkin pengalaman yang diperoleh di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee sebelum ini, untuk membantu memberikan sumbangan terbaik kepada skuad Rusa.

"Pengalaman berharga itu tidak akan saya sia-siakan kerana Negeri Sembilan bakal berdepan cabaran lebih sengit musim 2018, berbanding musim 2017 dalam saingan Liga Perdana.

"Selepas berjaya membantu skuad Piala Presiden 2017 mara ke peringkat kalah mati, saya berharap dapat mencipta pencapaian lebih baik bersama skuad senior musim depan," katanya yang menandatangani kontrak dua tahun bersama Negeri Sembilan.

Berita Harian X