Rabu, 27 Disember 2017 | 9:03pm
KAPTEN Manchester City, Vincent Kompany sentiasa mengingatkan rakan sepasukannya supaya sentiasa fokus sekalipun mereka memiliki kelebihan 12 mata di puncak liga. - Foto AFP

Kompany jadikan kemerosotan United sebagai contoh

MANCHESTER, England: Kapten Manchester City, Vincent Kompany menggunakan kemerosotan Manchester United pada musim 2011-12 sebagai contoh bagi mengingatkan rakan sepasukannya tiada ruang untuk bersenang-lenang dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

United ketika itu memiliki kelebihan lapan mata di puncak liga pada 2012 sebelum tewas dua dan seri sekali dalam enam perlawanan terakhir sekali gus membenarkan City kembali dalam perlumbaan dan kemudian mengesahkan kejuaraan pada hari terakhir saingan.

Kompany yang menjadi antara tonggak kebangkitan City enam musim lalu itu bimbang kerapuhan yang sama berlaku terhadap pendahulu liga ketika ini dan dia sentiasa mengingatkan rakan sepasukannya supaya sentiasa fokus sekalipun mereka memiliki kelebihan 12 mata di puncak liga.

"Saya tidak tahu jika semua orang mengingatinya tapi ketika itu ia berbaki enam perlawanan dan kami ketinggalan lapan mata, jadi kerana itu saya sentiasa menjadi orang yang pertama dan berkata, 'Tidak kawan, kami tidak boleh leka'," kata Kompany kepada media Inggeris.

"Saya benar-benar tidak mahukannya. Kami terus memberi tekanan, menekan, menekan dan tiada siapa pun berhak untuk membiarkan prestasinya jatuh atau leka."

Pengurus City, Pep Guardiola meneruskan rekod kemenangan berturut-turut liga kepada 17 selepas membelasah Bournemouth 4-0 minggu lalu dan Kompany teruja untuk meneruskannya dengan kemenangan ke atas Newcastle United, awal pagi esok.

"Kami perlu meneruskannya," ujar pemain dari Belgium itu.

"Kami mengharungi Krismas dengan perasaan bertanggungjawab terhadap perlawanan di Newcastle dan dengan perasaan yang gembira." - Reuters

2151 dibaca
Berita Harian X