Jumaat, 29 Disember 2017 | 9:07pm
JURULATIH Felda United, B. Sathianathan (tengah) memantau sesi latihan Felda United di padang UITM, Jengka. - Foto Farizul Hafiz Awang

Kuota FELDA United sudah penuh

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih FELDA United FC, B Sathianathan mengesahkan kuota pemain untuk skuad The Fighters bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan sudah penuh.

Justeru, bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu menegaskan beliau tidak akan mendapatkan khidmat mana-mana pemain lagi buat masa ini.

"Bagi saya skuad ini sudah lengkap dan saya berpuas hati dengan semua pemain yang ada termasuk tiga import yang baru ditandatangani.

"Malah kejayaan melengkapkan semua pemain membolehkan kami melakukan persiapan lebih awal bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Setakat ini, saya lihat semua pemain sudah menunjukkan prestasi terbaik sepanjang persiapan pramusim termasuk mengharungi beberapa aksi persahabatan," kata Sathianathan yang dipilih sebagai jurulatih terbaik pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017, 22 Disember lalu.

The Fighters mengikat tiga pemain import baharu termasuk bekas pertahanan Perak, Thiago Junior Aquino dan bekas penyerang PKNP FC, Gilberto Fortunato serta pemain kelahiran Australia-Filipina, Iain Ramsay.

Sathianathan hanya mengekalkan seorang pemain import iaitu Thiago Augusto Fernandes selepas menggugurkan tiga tonggak termasuk Zah Rahan Krangar, Dino Djulbic dan Ifedayo Olusegun.

Selain itu, dua bekas pemain The Fighters, Syamim Yahya dan Christie Jayaseelan yang sebelum ini berpindah ke Pahang turut kembali memperkuatkan pasukan itu.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 59 tahun itu percaya pasukannya mampu menjadi antara pencabar utama merebut kejuaraan Liga Perdana musim depan.

"Saya yakin dengan barisan pemain yang saya ada dan kami perlu menampilkan prestasi terbaik untuk kembali bersaing dalam Liga Super musim 2019," ujarnya.

Berita Harian X