Sabtu, 30 Disember 2017 | 1:35am
PEMAIN Tottenham, Harry Kane mungkin tidak diturunkan bertemu Swansea, Selasa ini berikutan masalah kesihatan. - Foto REUTERS

Tottenham mungkin tanpa Kane di Swansea

LONDON: Peledak Tottenham Harry Kane berkemungkinan tidak dapat diturunkan bagi aksi Liga Perdana Inggeris bertemu Swansea, Selasa ini berikutan masalah kesihatan, kata pengurus Mauricio Pochettino.

Kane yang menyumbang hatrik dalam tiga perlawanan berturut-turut tidak menyertai sesi latihan hari ini tetapi pengendali Spurs itu berharap penyerang England itu mempunyai masa yang cukup untuk pulih.

"Dia di rumah, doktor ada di rumahnya," kata Pochettino ketika sidang media.

"Sama ada dia akan cergas bertemu Swansea? Kita akan lihat. Saya tidak tahu jika dia akan boleh bermain atau tidak. Kita akan lihat bagaimana reaksinya."

Spurs yang menghuni tangga kelima liga begitupun mendapat kembali khidmat Victor Wanyama yang sudah menjalani latihan bersama skuad utama.

Wanyama mungkin menggantikan tempat Mousa Dembele yang tidak berlatih bersama skuad sejak kemenangan 5-2 Tottenham ke atas Southampton sehari selepas Krismas.

"Dia (Dembele) mengalami masalah di bahagian pinggang dan pangkal paha," kata Pochettino. "Dia meminta untuk keluar daripada padang. Kini kami sedang menilainya. Dia diragui akan beraksi pada Selasa."

Swansea yang terjerumus ke dasar liga melantik bekas pengurus Sheffield Wednesday, Carlos Carvalhal sebagai pengurus, semalam bagi menggantikan Paul Clement. - REUTERS

414 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »