Sabtu, 30 Disember 2017 | 11:58pm
RAMON Marcote (kanan) harap penyokong Kedah bersabar menanti penyerang utama pasukan itu yang dijangka akan hadir pada bila bila masa. - Foto Izzali Ismail

Kedah tunggu penyerang Sepanyol

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote berharap penyokong Kedah bersabar menanti penyerang utama pasukan itu yang dijangka akan hadir pada bila bila masa.

Menurut Marcote, bakal penyerang Kedah itu adalah anak didiknya sewaktu beliau mengendalikan pasukan di Sepanyol dulu dan dijangka sampai dalam masa terdekat.

Terdahulu Kedah menerima kehadiran pemain pertahanan warga Filipina, Alvaro Silva pada khamis lalu yang dikatakan bakal mengisi posisi pertahanan tengah menggantikan Zac Anderson.

"Jadi kita jangkakan dua pemain berkenaan termasuk Alvaro Silva dan penyerang yang bakal diumumkan itu dapat beraksi untuk perlawanan persahabatan seterusnya selepas ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, skuad Liga Super Kedah meneruskan latihan menguji pemain tempatan termasuk pemain muda dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Piala Presiden Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Suka Menanti Alor Setar hari ini.

Walaupun tiada kelibat pemain import, Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva pada perlawanan persahabatan itu, Kedah menang 4-1.

"Kemenangan 4-1 ini menunjukkan kesan positif dalam persediaan melengkapkan pasukan bagi menghadapi saingan musim depan.

"Perlawanan pra-musim skuad Kedah seterusnya akan bermula dari 7 hingga 13 Januari di Surabaya dalam Kejohanan Piala Super Suramadu, bertemu PKNP FC di Mini Stadium UUM pada 17 Januari.

"Selepas itu kita akan menyertai Kejohanan Tiga Penjuru membabitkan Sabah FA, DPMM Brunei, Kedah FA di Kota Kinabalu dan Tawau bermula 19 hingga 21 Januari depan," katanya.

Berita Harian X