Ahad, 31 Disember 2017 | 10:18pm
KETIBAAN penyerang import Kedah, Pablo Pallares (tengah) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar ini disambut mesra peminat serta kelab penyokong bola sepak Kedah. - Foto Izzali Ismail

Pallares tiba di Alor Setar

ALOR SETAR: Pemain kelahiran Sepanyol, Pablo Pallares yang dikatakan bakal mengisi posisi penyerang utama skuad Helang Merah untuk saingan Liga Malaysia musim 2018 tiba di sini, sebentar tadi.

Dia tiba pada jam 9 malam di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dan disambut pegawai dan media rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) serta penyokong.

Pallares, 30, berasal dari Gandia, Sepanyol beraksi sebagai penyerang dan memulakan karier bersama akademi Valencia CF dan kelab terakhir diwakilinya ialah Ponferradina dalam Segunda Division B, Sepanyol.

Pallares difahamkan ialah pilihan utama ketua jurulatih, Ramon Marcote bagi mengisi posisi penyerang ditinggalkan Ken Ilso musim lalu dan akan mengisi kuota antarabangsa penyerang import Kedah musim 2018.

Menurut kenyataan dari laman Facebook KFA, Marcote sudah memantau prestasi pemain itu sejak dua hingga tiga musim lalu dan dia dianggap sesuai dengan tahap kualiti bola sepak di Malaysia dan bakal menjadi senjata utama skuad hijau kuning.

KFA akan memaklumkan pengesahan statusnya bersama skuad Helang Merah selepas pemeriksaan perubatan serta memuktamadkan perbincangan kontrak sebelum skuad itu berlepas ke Surabaya.

Pallares ketika ditemui sejurus tiba di LTSAH, berkata dia teruja dan tak sabar melihat reaksi penyokong Kedah.

"Saya teruja dengan semangat dan reaksi ditunjukkan penyokong Kedah yang saya lihat memberi sambutan hangat dalam media sosial dan hadir pada malam ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Marcote kerana memberi kepercayaan kepada saya beraksi di sebuah kelab yang mempunyai rekod hebat di Malaysia," katanya.

Berita Harian X