Selasa, 2 Januari 2018 | 6:19am
JESSE Lingard meraikan jaringan bersama rakan sepasukan, Paul Pogba (kanan) ketika United menewaskan Everton di Goodison Park, awal pagi tadi. - Foto AFP

United kembali ceriakan Mourinho 

LONDON: Manchester United mengembalikan semula senyuman di wajah Jose Mourinho apabila gol cantik daripada Anthony Martial dan Jesse Lingard mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Everton di Goodison Park, awal pagi tadi.

Kemenangan pada Tahun Baharu itu menyaksikan United kembali merampas tangga kedua Liga Perdana Inggeris daripada Chelsea untuk sekurang-kurangnya 24 jam dan 12 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Manchester City.

Tanpa kehadiran Romelu Lukaku yang cedera, Martial memulakan aksi dalam kesebelasan utama dan penyerang Perancis itu memecah kebuntuan pada minit ke-54.

PEMAIN United, Anthony Martial (tengah) menewaskan penjaga gol Everton untuk jaringkan gol pertama perlawanan. - Foto EPA

Bergandingan dengan pemain tengah Paul Pogba, Martial dengan bijak mencari ruang di dalam kotak penalti sebelum meledak jaringan kesembilannya musim ini.

Selepas bergelut pada penghujung 2017 dengan melakar tiga keputusan seri berturut-turut, United tampak lebih bersemangat pada perlawanan pertama mereka pada 2018 yang menyaksikan Lingard mengesahkan tiga mata pada minit ke-81.

Pemain sayap itu menewaskan beberapa pemain Everton sebelum melepaskan sepakan lencong dari jarak 18 meter untuk menjaringkan gol keempatnya dalam lima perlawanan terakhir.

KEMENANGAN skuad kendalian Jose Mourinho (kiri) ke atas Everton, awal pagi tadi menyaksikan United kembali merampas tangga kedua Liga Perdana Inggeris daripada Chelsea untuk sekurang-kurangnya 24 jam. - Foto AFP

Kemenangan jelas menjadi tonik yang sempurna buat Mourinho sejak timbul laporan pengurus United mula kehilangan sokongan daripada pemainnya selepas menggelar mereka 'kebudak-budakan' dan 'tidak matang.'

Malah pengurus kelahiran Portugal itu turut mengakui skuad kendaliannya memerlukan pelaburan yang besar untuk mengejar City. - AFP

Berita Harian X