Selasa, 2 Januari 2018 | 9:55am
PEMAIN United, Jesse Lingard kini menyinar di bawah bimbingan Mourinho. - Foto AFP

Lingard dapat pujian Mourinho

LIVERPOOL: Jose Mourinho menyanjung kemajuan mengagumkan Jesse Lingard selepas jaringan pemain sayap Manchester United itu mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Everton, awal pagi tadi.

Skuad kendalian pengurus dari Portugal itu hanya bergantung kepada jaringan pembukaan Anthony Martial pada minit ke-57 sebelum Lingard meledak gol kedua yang cukup melegakan ketika permainan berbaki sembilan minit di Goodison Park.

Ia adalah gol ke-10 pemain berusia 25 tahun itu dan keempatnya dalam lima penampilan terakhir yang disempurnakan dengan cukup cantik termasuk selepas memperdayakan pertahanan Everton.

Selepas mengharungi karier yang terumbang ambing di United, Lingard kini menyinar di bawah bimbingan Mourinho yang jelas tidak lagi bersembunyi memuji peningkatan ditampilkan pemainnya itu.


PENYERANG Everton, Wayne Rooney (kiri) cuba menghalang Jesse Lingard (tengah) pada aksi di Goodison Park, awal pagi tadi. - Foto EPA

"Satu perkara ialah dia seorang bakat yang muda, satu lagi ialah dia seorang pemain yang amat bagus," kata Mourinho.

"Sesetengah pemain tidak mampu melakukan lompatan seperti itu.

"Mereka menjadi pemain berpotensi hebat kepada pemain yang normal. Tetapi Lingard mampu melakukannya.

"Dia lebih konsisten, dia mengadaptasi, dia memahami permainan dengan lebih baik, dia sedang bergerak ke arah yang cukup baik."

Sumbangan Lingard memberikan United kemenangan pertama dalam empat perlawanan selepas tiga kali mencatat keputusan seri.

United ketika ini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Manchester City dan Mourinho yang mengkritik pemain-pemain bintangnya baru-baru ini jelas kembali ceria.

"Kebanggaan kami, usaha kami, segala-galanya adalah kelas dunia dan paling utama ialah kami bermain dengan amat baik," katanya.

"Ia bukannya prestasi pemain yang penat, dengan kalendar yang amat buruk yang kamu berikan kepada kami."

Ditanya sama ada United akan membawa pemain baharu pada perpindahan Januari, Mourinho berkata: "Saya tidak tahu mengenai perpindahan. Ketika ini kami berada dalam masalah, dalam dua ke tiga minggu, mungkin kami akan pulih dan bernafas dalam cara yang berbeza.

"Bolehkan kami meningkat sekarang atau menunggu sehingga musim panas? Saya tidak boleh mengatakannya." - AFP

Berita Harian X