Selasa, 2 Januari 2018 | 10:45pm
PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez dikatakan mahu berpindah ke kelab lain. - Foto Reuters

Wenger janji pengganti Sanchez, Ozil sama hebat

LONDON: Arsene Wenger memberi jaminan kepada peminat Arsenal yang dia akan menggantikan Alexis Sanchez serta Mesut Ozil dengan pemain kelas dunia sekiranya kedua-dua bintangnya itu meninggalkan kelab.

Kontrak Sanchez yang hampir berpindah ke Manchester City pada hari terakhir perpindahan musim panas Ogos lalu, dan Ozil akan tamat pada akhir musim ini.

Sikap dan komitmen Sanchez terhadap kelab dipersoalkan oleh peminat dan sebahagian rakan sepasukannya tidak meraikan pemain berusia 29 tahun Chile itu selepas dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Crystal Palace, Khamis lalu.

"Kami terbuka untuk mana-mana posisi bagi pemain luar biasa yang mampu memberi nilai tambah kepada pasukan. Ia bergantung kepada kecederaan juga," kata pengendali Arsenal itu menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris bertemu Chelsea.

"Namun ia juga bergantung kepada sekiranya kami berjaya melanjutkan kontrak pemain-pemain yang berakhir Jun ini. Kami perlu melihat kepada keputusan ini dan bertindak balas terhadapnya.

"Bagaimana kami menanganinya, pertama sekali kami belum kehilangan mereka dan kedua kami akan bertindak balas dengan membawa masuk pemain kualiti tertinggi.

"Kelab ini sudah kehilangan begitu ramai pemain ternama dan sentiasa bertindak balas dengan baik."

Pengendali berusia 68 tahun dari Perancis itu bagaimanapun menafikan spekulasi yang dia sedang memburu bek tengah Chelsea dari Brazil, David Luiz atau pemain tengah Monaco Thomas Lemar yang berasal dari Perancis.

- AFP

2322 dibaca
Berita Harian X