Selasa, 2 Januari 2018 | 10:54pm
KETUA jurulatih Kedah, Ramon Marcote bawa dua pemain import yang sedang diuji, Alvaro Silva dan Pablo Pallares. - Foto fail

Kedah buru import kelima

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sedang berusaha membawa seorang lagi pemain tengah sebagai pemain import kelima dan merupakan kuota Asean bagi melengkapkan lima slot import untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2018 yang akan bermula pada Februari nanti.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminudin Omar, pihak KFA pada mulanya meminta jurulatih melihat beberapa pemain Indonesia sebagai calon pemain import Asean tetapi tidak dapat diteruskan disebabkan terdapat beberapa masalah hubungan berkaitan pemain dari negara itu.

"Disebabkan wujudnya masalah perhubungan membabitkan pemain dari Indonesia maka kita beralih kepada calon dari negara Thailand, Vietnam atau Myanmar."

"Perkara ini akan kita umumkan apabila proses dan persetujuan antara kedua-dua pihak selesai dan dari segi pemilihan saya masih menunggu isyarat dari ketua jurulatih untuk memaklumkan siapa yang terkini beliau tengah runding yang kemungkinan pemain di posisi tengah."

Aminudin yang hadir meninjau sesi latihan skuad kendalian Ramon Marcote pada awal tahun baru ini turut memberi kata perangsang kepada semua pemain dan staf kejurulatihan membabitkan aspek disiplin dalam pasukan selain mengumumkan ketibaan dua import terbaharu Kedah setakat ini.

"Bagaimanapun setakat ini dua pemain import baharu Kedah yang dipilih oleh ketua jurulatih iaitu Alvaro Silva untuk kuota Asia dan Pablo Pallares untuk kuota antarabangsa sudah hadir bersama pasukan dalam sesi latihan yang sedang diadakan." katanya

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama heboh di media sosial dan laman FB yang mengaitkan nama seorang pemain dari Vietnam, Nguyen Van Quyet yang mewakili skuad kebangsaan negara berkenaan dikatakan antara calon yang sedang dirunding oleh pihak KFA untuk mengisi slot kuota Asean.

Bagaimanapun tiada pengesahan dibuat oleh pihak KFA tentang kesahihan maklumat yang berlegar dalam media sosial berkenaan.

Berita Harian X