Khamis, 4 Januari 2018 | 7:41am
PEMAIN Arsenal, Hector Bellerin menjerit puas selepas berjaya jaringkan gol penyamaan untuk mengikat Chelsea, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Bellerin bantu Arsenal seri

LONDON: Arsenal dan Chelsea menafikan pemain masing-masing kepenatan selepas terpaksa mengharungi jadual padat Liga Perdana dan ia dibuktikan apabila Hector Bellerin menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan bagi membolehkan tuan rumah seri 2-2 dalam aksi penuh dramatik awal pagi tadi.

Sejak wisel permulaan hingga tamat aksi di Stadium Emirates, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan penjaga gol Arsenal, Petr Cech serta rakan di posisi sama, Thibaut Courtois cemerlang menafikan percubaan penyerang sepanjang sejam permainan.

Jack Wilshere memberikan pendahuluan buat Arsenal pada minit ke-63 tetapi terjahan Bellerin ke atas Eden Hazard membolehkan pemain Belgium itu menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan penalti, empat minit kemudian.


Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois (C) gagal menghalang bola hasil percubaan pemain Arsenal, Hector Bellerin yang menerjah jaring. - Foto AFP

Chelsea menambah kelebihan apabila Marcos Alonso meletakkan pelawat di depan pada minit ke-84 tetapi impian mereka untuk menang dinafikan hasil jaringan Bellerin pada minit ke-92. Andai menang, Chelsea pasti memintas Manchester United di tangga kedua liga.

Chelsea bagaimanapun hampir menambah gol ketiga menerusi pemain gantian, Davide Zappacosta tetapi rembatannya sekadar singgah di palang.

Dengan keputusan itu, Chelsea kekal di tangga ketiga dengan 46 mata, 16 mata di belakang pendahulu, Manchester City yang memiliki kelebihan 15 mata berbanding United manakala Arsenal kekal di tangga keenam.


PEMAIN Chelsea, Marcos Alonso (tengah) menewaskan penjaga gol Arsenal, Petr Cech untuk jaringkan gol kedua pada aksi di Emirate. - Foto EPA

Ia adalah perlawanan ke-60 buat pengurus, Arsene Wenger ke atas Chelsea tetapi aksi awal pagi tadi adalah yang paling banyak menghasilkan percubaan ke gawang Blues.

"Ia perlawanan yang hebat dan secara keseluruhan, kedua-dua pasukan bermain baik," kata Wenger. "Mungkin ia keputusan yang adil.

"Saya tidak mahu mempertikaikan keputusan pengadil yang memberikan penalti. Mental pemain juga kuat dan kami berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2."

Alvaro Morata melepaskan peluang keemasan untuk menjaringkan gol buat Chelsea pada awal permainan selepas melepasi benteng pertahanan Arsenal tetapi rembatannya gagal menemui sasaran.

Cubaan Alexis Sanchez pula terkena tiang selepas ditepis Courtois yang tidak lama kemudian pantas menafikan rembatan Alexandre Lacazette.

Tiemoue Bakayoko dan Cesc Fabregas turut melepaskan peluang untuk menjaringkan buat buat Chelsea manakala cubaan Mesut Ozil pula diselamatkan Courtois.


MESUT Ozil (dua dari kanan) cuba mengasak penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois. - Foto Reuters

Bekas penjaga gol Chelsea, Cech yang memburu rekod bersih buat kali ke-200 di Liga Perdana, mempamer kecemerlangan ketika menafikan cubaan Hazard ketika babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang.

Tidak cukup dengan itu, Courtois menghalang rembatan kencang Sanchez tetapi dia akhirnya tewas di tangan Wilshere apabila pemain tengah itu membuat rembatan kaki kiri yang menuju ke penjuru gawang.

Penyokong Arsenal menggamatkan stadium tetapi terdiam empat minit kemudian apabila Bellerin menjatuhkan Hazard sekali gus membolehkan pemain itu menyamakan kedudukan.

Pada minit ke-84, Zappacosta berjaya memperdaya pertahanan kiri Arsenal, Ainsley Maitland-Niles sebelum membuat hantaran lintang yang disudahkan Alonso.

"Saya rasa kecewa kerana apabila anda mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, anda sepatutnya keluar sebagai pemenang," kata pengurus Chelsea, Antonio Conte. - Reuters

1310 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »