Khamis, 4 Januari 2018 | 10:22am
PENYERANG Chelsea, Alvaro Morata mensia-siakan tiga peluang satu-lawan-satu ketika bertemu Arsenal, awal pagi tadi. - Foto AFP

Morata tak salah: Conte

LONDON: Antonio Conte mempertahankan penyerang Chelsea, Alvaro Morata selepas pemain Sepanyol itu mensia-siakan tiga peluang satu-lawan-satu yang menjadi punca kegagalan pasukannya menewaskan Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Skuad Blues seri 2-2 di Stadium Emirates tetapi Morata kelihatan gugup di depan gawang apabila dua kali percubaannya tersasar ketika tidak dicabar pemain lawan selain gagal mengatasi Petr Cech pada minit terakhir.

Morata mengumpul 10 gol Liga Perdana Inggeris dalam 19 penampilan sejak menyertai kelab itu dari Real Madrid tahun lalu namun selepas gagal menjaringkan gol menerusi peluang mudah ketika berdepan Stoke City yang menyaksikan Chelsea menang besar 5-0 Sabtu lalu, musim perayaan ini bagaikan tidak memihak kepadanya.


ALVARO Morata (no 9) gagal melepasi benteng terakhir Arsenal yang dikawal Petr Cech. - Foto Reuters

"Ia bukan masa yang bertuah untuknya," kata Conte pada sidang media.

"Pada perlawanan terakhir menentang Stoke, saya katakan adalah penting untuk penyerang mendapat peluang menjaringkan gol.

"Hari ini dia beroleh peluang itu tetapi inilah bola sepak. Saya gembira dengan komitmennya, dia bekerja keras untuk pasukan dan mereka penting buat saya.

"Bagi penyerang adalah penting untuk menjaringkan gol dan dalam hal ini keyakinan anda mungkin jatuh. Dia masih muda, dia perlu terus berusaha dan mempamerkan peningkatan. Gol akan tiba nanti."


Antara peluang untuk Alvaro Morata jaringkan gol ketika bertemu Arsenal, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Percubaan Morata, 25, jauh tersasar apabila mendapat bola di depan gawang pada awal permainan.

Arsenal mendahului melalui Jack Wilshere namun penalti Eden Hazard dan jaringan Marcos Alonso meletakkan Blues di depan sebelum Hector Bellerin menyamakan kedudukan pada minit terakhir.

Morata sepatutnya memberikan Chelsea gol kemenangan saat akhir tetapi percubaannya diselamatkan Cech apabila dia hanya berdepan penjaga gol itu sebelum tindakan susulan Davide Zappacosta singgah di palang.


PENGURUS Chelsea, Antonio Conte (kanan) mengakui kegagalan memanfaatkan peluang di Emirates menjejaskan harapan untuk mengejar pendahulu liga Manchester City. - Foto Reuters

Conte yang kelihatan kecewa di tepi padang, mengakui kegagalan memanfaatkan peluang itu menjejaskan harapan Chelsea yang berada di tangga ketiga untuk mengejar pendahulu liga Manchester City.

"Seri di Emirates sudah cukup baik," kata jurulatih Itali itu.

"Namun pada akhir permainan jika kami melihat kepada peluang yang sepatutnya disempurnakan, kami sebenarnya sudah hilang dua mata." - Reuters

1177 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »