Khamis, 4 Januari 2018 | 10:41pm
PENYERANG Besiktas, Cenk Tosun bakal sarung jersi Everton. - Foto Reuters

Everton tidak sabar nanti kedatangan Tosun

LIVERPOOL: Everton mencapai persetujuan untuk mengikat penyerang Besiktas, Cenk Tosun dan tidak sabar melengkapkannya menjelang pertemuan pusingan ketiga Piala FA menentang Liverpool Jumaat ini, kata pengurusnya Sam Allardyce.

Tosun, 26, mencetak 14 gol dalam 24 penampilan buat gergasi Turki itu pada musim ini dan akan membawa tonik terbaik buat Everton, yang bergelut menjaringkan gol sejak penjaring terbanyak, Romelu Lukaku berhijrah ke Manchester United pada Julai lalu.

Media British melaporkan bahawa kelab Liga Perdana Inggeris itu sedia membelanjakan sekitar 27 juta pound (RM146 juta) untuk penyerang prolifik Turki itu.

"Kami sudah bersetuju dengan perjanjian dan berada pada peringkat akhir perjanjian peribadi. Semoga kami dapat mendaftarkannya tepat pada masa untuk aksi Piala FA," katanya.

"Ada ujian perubatan dan beberapa perkara lain lagi. Untuk mendapat khidmatnya paling penting sekarang ini kerana ia menjadi isu paling dibimbangi kelab."

Everton kini menghuni kedudukan kesembilan liga selepas bangkit daripada prestasi buruk, tetapi kelihatan tumpul di bahagian penyudah dengan hanya meledak 25 gol dalam 22 perlawanan.

792 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »