Sabtu, 6 Januari 2018 | 6:45am
PEMAIN baharu Chelsea, Ross Barkley bakal mewarisi jersi nombor lapan milik Frank Lampard selepas melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge, hari ini. - Foto AGENSI

Barkley mahu sehebat Lampard

LONDON: Pemain tengah England Ross Barkley akan mewarisi jersi nombor lapan yang pernah dimiliki penjaring terbanyak Chelsea Frank Lampard dan berharap mampu mengecap kegemilangan karier yang sama selepas menyertai kelab London itu dari Everton awal pagi ini.

Juara Liga Perdana Inggeris Chelsea mengesahkan bahawa Barkley, 24, menandatangani kontrak selama lima setengah tahun, biarpun pernah menolak tawaran ke Stamford Bridge sebelum ini.

Tiada maklumat terperinci mengenai kos perpindahan biarpun media Britain melaporkan bayaran perpindahan dijangka sekitar 15 juta pound (RM81.3 juta).

Lampard berusia 23 tahun ketika menyertai Chelsea dari West Ham United pada 2001 dan mengumpul 211 jaringan untuk Blues dalam semua kejohanan.

Barkley, pemain kelahiran Liverpool pula membuat 179 penampilan untuk kelab Merseyside apabila menyertai kelab itu pada usia 11 tahun namun hanya menjaringkan 27 gol dalam semua kejohanan.

Dia pernah dibandingkan seperti bekas bintang muda Everton Wayne Rooney ketika membuat penampilan sulung di Everton pada 2011 pada usia 18 tahun namun biarpun memiliki 22 cap bersama England, perjalanan kariernya seakan tidak ke mana-mana.

Dia berkata perpindahan ke Chelsea menawarkan 'permulaan baru' serta peluang untuk menambah lebih elemen kepada corak permainan versatil terutama dari aspek jaringan gol.

"Saya teruja, saya amat mengharapkannya dan benar-benar tidak sabar untuk mula beraksi," kata Barkley yang tidak beraksi musim ini berikutan kecederaan hamstring, menerusi laman web Chelsea.

"Diberikan permulaan baru di kelab seperti Chelsea, sesuatu yang tidak saya duga. Saya berharap dapat meneruskan apa yang ditinggalkan pada akhir musim dan berharap dapat memperbaiki diri dan lebih banyak menjaringkan gol," katanya.

Cabaran utama Barkley adalah kembali mendapatkan kecergasan penuh sebelum cuba mendapatkan tempat dalam skuad Antonio Conte yang turut dibarisi pemain tengah bertaraf dunia seperti Tiemoue Bakayoko, N'Golo Kante dan Cesc Fabregas. - REUTERS

1192 dibaca
Berita Harian X