Sabtu, 6 Januari 2018 | 7:07pm
PENYERANG terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017, Muhammad Shahrel Fikri dedah punca batal sertai JDT. - Foto Luqman Hakim Zubir
PENYERANG terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017, Muhammad Shahrel Fikri dedah punca batal sertai JDT. - Foto Luqman Hakim Zubir

Cedera punca Shahrel Fikri batal ke JDT II

IPOH: Penyerang terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017, Muhammad Shahrel Fikri mendedahkan, kecederaan antara faktor yang mendorongnya untuk membatalkan niat berpindah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan memilih untuk kekal bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PkNP) FC dalam kancah bola sepak Liga M 2018.

Kapten PKNP FC itu pada mulanya dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan JDT tetapi akhirnya memilih untuk menandatangani lanjutan kontrak setahun lagi bersama pendatang baharu Liga Super itu sehingga tahun 2020.

"Saya lega dengan keputusan ini dan berharap mampu memberikan yang terbaik kepada PKNP. Saya sedar tugas berat dan mencabar kerana akan beraksi menentang pasukan-pasukan gergasi seperti JDT, Kedah, Selangor dan Pahang," katanya ditemui pada majlis perkahwinan rakan sepasukan, Mohd Raffi Naggorgani di Chenderiang sebentar tadi.

Menurut Shahrel dia membuat keputusan untuk kekal berikutan masih mengalami kecederaan pergelangan kakinya. "Saya ingin menjalani rawatan selepas ini," katanya.

Pengesahan berkenaan kedudukan Shahrel itu dibuat oleh Presiden PKNP FC, Datuk Aminuddin Md Desa.

"Shahrel akan terus mewakili PKNP musim ini selepas perpindahannya tidak jadi. Malah dia mengikat kontrak lanjutan dengan kami.

"Spekulasi mengenai perpindahannya berakhir dengan kenyataan ini," kata Aminuddin dalam satu kenyataan akhbar.

Berita Harian X