Sabtu, 6 Januari 2018 | 11:59pm
PEMAIN Leicester berasal dari Jepun, Shinji Okazaki (kanan) cuba menghalang pemain Fleetwood, George Glendon pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Highbury, sebentar tadi. - Foto Reuters

Piala FA: Fleetwood ikat Leicester

LONDON: Bekas juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City hampir dikejutkan kelab Liga Satu, Fleetwood Town sebelum terikat dengan keputusan seri 0-0, dalam aksi pusingan tiga Piala FA, sebentar tadi.

Dalam satu lagi pertembungan yang berlangsung pada masa yang sama, Middlesbrough menyingkirkan lawan sama dari Liga Kejuaraan, Sunderland dengan keputusan 2-0.

Pada aksi di laman Fleetwood, Highbury itu, penyerang bintang Leicester, Jamie Vardy turut dinafikan kepulangan penuh emosi ke kelab lamanya itu susulan kecederaan pangkal paha, manakala Riyad Mahrez juga tidak disenaraikan.


PEMAIN Fleetwood, Devante Cole (dua dari kanan) mengasak pintu gol Leicester pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Highbury, sebentar tadi. - Foto Reuters

Pada babak pertama yang berlangsung agak hambar, Leicester hampir ketinggalan di awal permainan apabila pertahanan, Aleksandar Dragovic melakukan kesilapan dengan membuat hantaran lemah ke belakang yang memaksa penjaga gol, Eldin Jakupovic bertungkus lumus mengeluarkan bola.

Pelawat yang kembali bangkit sejak Claude Puel mengambil alih tugas selaku pengurus, awal musim ini berada dalam prestasi baik pada bulan ini, tetapi mereka gagal memberikan ancaman yang benar-benar merbahaya ke atas Fleetwood.

Beraksi di Liga Satu yang juga divisyen tiga Liga Inggeris, Fleetwood beraksi dengan lebih baik pada babak kedua dan berterusan memberikan ancaman kepada pertahanan Leicester, malah hampir meledak gol pendahuluan.

Puel memasukkan Marc Albrighton dan penyerang, Shinji Okazaki tetapi Fleetwood meneruskan ancaman kubu pelawat sambil meraih beberapa sepakan sudut.

Mereka hampir untuk meraih kemenangan pada saat-saat terakhir permainan apabila Ashley Hunter melepaskan rembatan padu dari jarak dekat tetapi tertampan pertahanan Leicester, Yohan Benalouane.

Situasi itu menyaksikan Jakupovic terpaksa bertungkus lumus untuk menyelamatkan bola untuk meneruskan permainan.

Dalam aksi Stadium Riverside, gol hasil jaringan Rudy Gestede dan Martin Braithwaite pada babak pertama memastikan Middlesbrough menyingkirkan Sunderland untuk mara ke pusingan seterusnya. - AFP

391 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »