Ahad, 7 Januari 2018 | 8:18pm
Pemain baharu Negeri Sembilan, Mohd Fauzan Dzulkifli (kiri) ketika mewakili PKNS FC musim lalu tekad mahu ulangi pencapaian cemerlang bersama skuad Jang musim ini. - Foto Aziah Azmee

Kombinasi pemain berpengalaman mampu julang Negeri Sembilan

SEREMBAN: Selepas berjaya membantu PKNS FC kekal dalam saingan liga utama, pemain tengah skuad Negeri Sembilan, Mohd Fauzan Dzukifli, bertekad untuk mengulangi pencapaian cemerlang berkenaan dengan membantu pasukan baharunya itu, pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Bekas kapten PKNS FC kelahiran Tanjong Karang, Selangor itu meluahkan keyakinan, dia mampu memberikan sumbangan terbaik kepada Negeri Sembilan seperti yang diharapkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Katanya, biarpun mengakui cabaran saingan Liga-M musim ini dilihat berbeza berbanding musim lalu, terutama daripada segi persiapan pasukan bertanding, namun dia yakin Negeri Sembilan ada kelebihan untuk menjadi pencabar terkuat menerusi kombinasi mantap pemain tempatan serta import.

"Saya yakin kami mampu menjadi pencabar terkuat musim ini. Pemain seperti Mohd Nasriq Baharom, Noor Hazrul Mustafa, Mohd Rizal Fahmi Rasid, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Saiful Amar Sudar adalah tonggak berpengalaman.

"Kami akan berusaha membentuk kekuatan baharu dengan semua pemain ini dan secara peribadi, fokus saya adalah memastikan kekuatan Negeri Sembilan berada pada tahap terbaik sepanjang musim.

"Kami mahu merealisasikan impian menjulang sekurang-kurangnya satu piala yang menjadi rebutan, Piala FA, Liga Super atau Piala Malaysia.

"Saya percaya, pengalaman pasukan ini yang pernah menjulang Piala Malaysia dua kali (2009 dan 2011) bakal menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk mengembalikan detik gemilang itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Negeri Sembilan yang kini dibimbing pengendali dari Jerman, Jorg PeterSteinnebrunner dan dibantu Mohd Asri Ninggal kembali bersaing dalam Liga Super musim 2018 selepas bergelut selama empat musim berturut-turut dalam saingan Liga Perdana, sejak 2014.

Mohd Fauzan yang dilantik selaku penolong kapten akan menggunakan segala pengalaman berharganya bersama PKNS FC dan Pulau Pinang sebelum itu, untuk meletakkan skuad Hobin Jang Hobin pada pencapaian yang membanggakan.

"Saya berharap dapat membantu bukan saja mendapatkan satu piala, tetapi juga memastikan Negeri Sembilan terus kekal dalam Liga Super untuk musim berikutnya," katanya menegaskan langsung yang tertekan dengan tugas berkenaan.

Mengulas mengenai perlawanan pramusim di Kemboja, pemain berusia 30 tahun itu berkata, fokus utama pasukan ketika di Kemboja ialah untuk membentuk keserasian mantap antara setiap pemain terutama dengan pemain import.

Berita Harian X