Ahad, 7 Januari 2018 | 10:59pm
PEMAIN PSG, Javier Pastore (kiri) dan Edinson Cavani perlu beri jawapan kepada Paris Saint-Germain (PSG) atas kelewatan mereka pulang ke Paris dari Amerika Selatan. - Foto AGENSI

PSG tuntut jawapan Cavani, Pastore

PARIS: Edinson Cavani dan Javier Pastore perlu memberi jawapan kepada Paris Saint-Germain (PSG) atas kelewatan mereka pulang ke Paris dari Amerika Selatan, sekali gus terlepas aksi Piala Perancis bertemu Rennes, awal pagi ini.

Sumber berkata, PSG akan menjatuhkan hukuman yang berat terhadap kedua-duanya, dengan Cavani tiba dua hari lebih lewat daripada dijadualkan pada Jumaat lalu, manakala Pastore masih belum tiba.

Penyerang Uruguay, Cavani berkata, dia mahu menghabiskan sambutan tahun baharu bersama keluarganya, sebelum berdepan kesulitan ketika menempah penerbangan pulang, namun sekurang-kurangnya dia sudah berada di Paris.

Pastore memberitahu Yahoo sports dari Argentina yang dia perlu menyelesaikan masalah peribadi dan menegaskan ia langsung tidak berkaitan dengan keinginannya untuk meninggalkan PSG.

"Saya mencintai Paris dan saya mencintai PSG. Saya mempunyai beberapa masalah peribadi yang perlu diselesaikan," kata Pastore.

"Saya adalah orang yang pertama dengan projek ini. Percayakan yang saya akan sentiasa setia kepada kelab ini," kata pemain tengah berbakat itu yang mengakui gembira dengan sokongan ditunjukkan Presiden kelab dari Qatar, Nasser al-Khelaifi.

Ketibaan Pastore ke PSG dengan nilai 40 juta euro (RM192.37 juta) pada 2011 menjadi pencetus penghijrahan pemain ternama ke kelab berkenaan.

Selepas memainkan peranan penting dalam empat musim pertamanya di PSG, Pastore kemudian jarang diturunkan pada dua musim berikutnya, sebelum kembali ke prestasi terbaik di bawah kendalian Unai Emery musim ini.

"Banyak yang saya perkatakan dengannya. Apabila mindanya berada dalam keadaan yang terbaik, dia adalah pemain yang amat penting bagi kami," kata Emery kepada AFP. - AFP

1674 dibaca
Berita Harian X