Isnin, 8 Januari 2018 | 9:13am
PENYERANG Real, Gareth Bale menyelamatkan maruah pasukan apabila meledak dua gol ketika seri bertemu Celta Vigo di Stadium Balaidos, awal pagi tadi. - Foto AFP

Gol Bale selamatkan Real

BARCELONA: Real Madrid terus gagal dalam misi mempertahankan kejuaraan apabila terikat 2-2 di Celta Vigo awal pagi tadi yang menyaksikan mereka ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu Barcelona yang menewaskan Levante 3-0 untuk kelebihan sembilan mata di puncak La Liga.

Real hampir kalah kali kedua berturut-turut selepas tewas 0-3 kepada Barca dalam pertemuan terakhir mereka apabila Daniel Wass berjaya menewaskan Keylor Navas untuk meletakkan Celta di depan pada minit ke-33.

Gareth Bale segera bangkit dengan meledak dua gol dalam tempoh tiga minit untuk meletakkan juara bertahan itu di depan sebelum tamat separuh masa namun Celta terus memberi tentangan terhadap skuad Zinedine Zidane apabila Iago Aspas terlepas penalti sebelum Maxi Gomez menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-82.


PENJAGA gol Real, Keylor Navas menyelamatkan penalti yang diambil pemain Celta, Iago Aspas pada aksi liga, awal pagi tadi. - Foto EPA

Penalti Aspas sekali lagi dinafikan pada lewat permainan dengan rembatan pemain Real, Lucas Vazquez terus menuju ke penjaga gol Celta, Ruben Blanco, manakala percubaan Cristiano Ronaldo pula tersasar.

Real berada di tangga keempat dengan 32 mata manakala Barca mengumpul 48 mata meskipun mereka beraksi lebih satu perlawanan.

Real berkunjung ke Vigo tanpa Dani Carvajal, penyerang Karim Benzema dan kapten Sergio Ramos manakala Celta, yang menyingkirkan Real daripada Piala Raja Sepanyol, semakin berani sejak seri 1-1 dengan Barca dalam saingan piala itu Khamis lalu.


PEMAIN Celta, Daniel Wass (kanan) meraikan jaringan pertama pasukan dengan rakan sepasukan, Maxi Gomez. - Foto REUTERS

Bale membuat penampilan pertama liga sejak 20 September lalu selepas pulih daripada masalah kecederaan otot dan mengikat kedudukan buat Real selepas jaringan Wass, sebelum meletakkan mereka di depan dengan menolak masuk bola hantaran Isco dengan tumitnya.

Celta mendesak Navas dibuang padang apabila dia menjatuhkan Aspas dan hanya dilayangkan kad kuning malah penjaga gol Costa Rica itu sekali lagi terlepas apabila berada di luar garisan sebelum melayangkan badan untuk menepis sepakan penalti penyerang itu.

"Kami melakukan banyak kesilapan, banyak kali mensia-siakan bola, sesuatu yang jarang kami lakukan ketika detik penting perlawanan, sepatutnya kami terus menghukum mereka," kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.

"Kami perlu berhenti melakukan kesilapan ini dan tampil lebih konsisten."


CRISTIANO Ronaldo (tengah) cuba lepasi kawalan dua pemain Celta pada aksi liga di Stadium Balaidos, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Barcelona menyaksikan kelebihan berbanding pencabar terdekat Atletico Madrid berkurang kepada enam mata semalam tetapi kembali dengan kelebihan sembilan mata selepas Lionel Messi, Luis Suarez dan Paulinho merobek kubu Levante.

"Kami mahu teruskan rentak kemenangan dan biarpun kami pasukan pilihan, kami sedar Levante pasukan kuat yang tidak pernah tewas di laman sendiri dalam liga ini sejak September," kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde. - Reuters

1772 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »