Isnin, 8 Januari 2018 | 11:13pm
PEMAIN Muda Kedah, Hidhir Idris (dua dari kiri) menjaringkan gol kedua skuad Helang Merah ketika menentang Persela Lamongan pada kejohanan Piala Super Suramadu 2018 di Stadium Gelora Bangkalan, Jawa Timur, Indonesia, hari ini.

Kedah, Persela terikat Piala Super Suramadu

ALOR SETAR: Juara Piala FA, Kedah terikat 2-2 dengan kelab Persela Lamongan dalam saingan Piala Super Suramadu 2018 di Stadium Gelora Bangkalan, Jawa Timur, Indonesia, hari ini.

Namun keputusan itu tetap memberikan kepuasan kepada pengendalinya, Ramon Marcote selepas melihat prestasi baik dipamerkan anak buahnya dalam aksi cuaca panas itu.

"Perlawanan babak pertama pihak lawan terlebih dulu menjaringkan gol. Selepas selepas ketinggalan kami membuat beberapa pertukaran termasuk meningkatkan beberapa aspek dalam perlawanan dan kami kembali dapat rentak pemainan dibabak kedua."

"Pemain muda seperti Akmal Azmi, Hidhir Idris dan Zafuan Azeman berjaya menunjukkan permainan yang baik dengan kombinasi bersama beberapa pemain senior seperti Baddrol, Syazwan dan Khairul.

"Dua import terbaharu iaitu Pablo Pallares dan Alvaro Silva, kita lihat turun dengan aksi yang penuh semangat. Saya yakin mereka dalam proses penyesuaian dengan pemain lain.

"Secara keseluruhan, ianya satu permulaan dan pengalaman yang penting untuk semua pemain," kata Marcote selepas perlawanan itu.

Piala Super Suramadu 2018 dianjurkan sempena perayaan ulang tahun Madura United pada Rabu. Turut menyertai kejohanan ini adalah dua kelab dari Indonesia, iaitu Persebaya Surabaya dan tuan rumah, Madura United.

Dalam perlawanan yang turut disiarkan menerusi live streaming Madura United TV, Persela lebih dulu di depan hasil sentuhan Agung Pribadi pada minit ke-30, sebelum disamakan Kedah melalui Zafuan Azeman pada minit ke-53 hasil hantaran Syazwan Zainon.

Persela kembali berada di depan lima minit selepas itu menerusi Guntur Triaji, sebelum skuad Helang Merah menyamakannya melalui Hidhir Idris yang menerima hantaran dari kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Perlawanan kedua Kedah adalah menentang Persebaya esok, dikuti Madura pada 12 Januari.

Berita Harian X