;
Rabu, 10 Januari 2018 | 10:08am
CHELSEA melanjutkan kontrak jangka panjang pemain muda dari Denmark, Andreas Christensen selepas peraga prestasi cemerlang. - Foto Reuters

Chelsea lanjut kontrak Christensen

LONDON: Chelsea memperbaharui kontrak jangka panjang kepada pemain antarabangsa Denmark, Andreas Christensen selepas pemain muda itu mempamerkan prestasi cemerlang bersama The Blues musim ini.

Pemain pertahanan tengah berusia 21 tahun itu bersama Chelsea sejak berusia 15 tahun menandatangani kontrak baru empat setengah tahun selepas menjadi pilihan utama menggantikan tempat David Luiz di posisi itu ekoran prestasi cemerlang sejak kembali ke London selepas dua musim dipinjamkan ke kelab Bundesliga, Borussia Moenchengladbach.

"Sangat bagus menandatangani kontrak baru dan saya gembira terus komited bersama Chelsea di masa depan," kata Christensen dalam laman web kelab.

"Saya bermain dalam banyak perlawanan (22 dalam semua pertandingan). Saya nikmati setiap detik di sini dan semuanya berjalan lancar," katanya.

Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia berkata, kontrak itu bagi menghargai prestasi hebat Christensen musim ini.

"Andreas mempamerkan aksi hebat pada awal musim ini dan kami amat menghargainya. Dia sangat berbakat sejak mula bersama Chelsea pada 2012 dan sekarang meraih faedah di atas dedikasi dan profesionalisme yang ditunjukkan sejak itu."

"Selepas dua musim dipinjamkan ke Jerman, kami yakin dia sedia menjadi sebahagian daripada skuad ini dan telah membuktikannya," kata Marina. - AFP

415 dibaca
Berita Harian X