Khamis, 11 Januari 2018 | 7:30am
PEMAIN tengah Chelsea, N'golo Kante (kiri) mengasak pemain Arsenal, Alexis Sanchez (kanan) pada saingan separuh akhir pertama Piala Liga di Stadium Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Chelsea kecewa diikat Arsenal

LONDON: Chelsea mensia-siakan peluang untuk menguasai pertembungan separuh akhir Piala Liga menentang Arsenal apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 pada perlawanan pertama awal pagi tadi.

Skuad kendalian Antonio Conte mendominasi hampir keseluruhan permainan di Stamford Bridge - di mana sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan - tetapi tiada penyudah tajam yang mampu menjelmakan kemenangan.


REAKSI pengendali Chelsea, Antonio Conte ketika menentang Arsenal pada saingan separuh akhir pertama Piala Liga di Stadium Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Mereka mencatat 21 percubaan berbanding lapan oleh Arsenal, dan perebutan ke final masih seimbang menjelang aksi timbal balik di Stadium Emirates pada 24 Januari.

"Kami tidak cukup tajam walaupun mencipta banyak peluang. Jika anda mahu menang anda perlu menjaringkan gol," kata Conte.

"Kami tidak dibolosi, tetapi kami tahu kami bermain di laman Arsenal nanti dan kami perlu bersedia untuk berjuang jika mahu beraksi di final."

Ketika keputusan itu mengecewakan buat Chelsea yang memburu final Piala Liga pertama sejak tahun 2015, seteru London, Arsenal menganggapnya sebagai tonik terbaik buat mereka.

Arsenal, yang turut seri dalam kedua-dua pertemuan dengan Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris musim ini, mengalami kekalahan paling memalukan sepanjang dikendali Arsene Wenger apabila tewas 4-2 di tangan kelab divisyen dua Nottingham Forest pada pusingan ketiga Piala FA Ahad lalu.

Walaupun Arsenal tidak beraksi pada tahap terbaik mereka, berbeza ketika tewas di Nottingham, Wenger berpuas hati melihat semangat juang ditunjukkan anak buahnya ketika mengikat Chelsea.

Conte menurunkan sebahagian besar pemain simpanannya dalam laluan ke kelompok empat terakhir, tetapi Eden Hazard yang baru pulih daripada kecederaan betis, N'Golo Kante dan Thibaut Courtois terpaksa disenaraikan dalam misi ke final di Wembley - bertemu sama ada Manchester City atau Bristol City.

Wenger yang menjalani hukuman penggantungan dan sekadar memerhati dari tempat duduk media, meletakkan Alexis Sanchez sebagai pemain simpanan manakala Mesut Ozil tidak disenaraikan akibat kecederaan lutut. - AFP


PENYERANG Chelsea, Alvaro Morata (kiri) diasak pemain Arsenal, Shkodran Mustafi (kanan) pada saingan separuh akhir pertama Piala Liga di Stadium Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

2623 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »