Jumaat, 12 Januari 2018 | 9:46am
PENJAGA gol Chelsea, Thibaut Courtois mahu rakan sepasukannya mengembalikan semula sentuhan The Blues bagi pertemuan dengan Leicester City, malam esok. - Foto REUTERS

Courtois gesa Blues pamer sentuhan pemusnah

LONDON: Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois mencabar rakan sepasukannya supaya mengembalikan semula sentuhan mereka bagi pertemuan dengan Leicester City, malam esok.

Anak buah Antonio Conte kecewa apabila seri tanpa jaringan pada separuh akhir pertama Piala Liga menentang Arsenal awal pagi kelmarin di sebalik mencipta banyak peluang.

Blues turut dipaksa seri tanpa jaringan oleh kelab divisyen dua Norwich pada pusingan ketiga Piala FA hujung minggu lalu.

Dengan hanya 41 gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, Chelsea pasukan paling kurang menjaringkan gol berbanding empat pencabar utama mereka selain ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu Manchester City.


PENJAGA gol Chelsea, Thibaut Courtois berjaya menangkap bola ketika dibantu rakan sepasukan, Antonio Rudiger (tengah) selepas diasak penyerang Arsenal, Danny Welbeck. - Foto AFP

Conte meminta pemainnya memperagakan sentuhan lebih berbisa di depan pintu gol dan ketika Leicester hadir ke Stamford Bridge hujung minggu ini, Courtois mengulangi kata-kata pengurusnya.

"Menentang Stoke kami menjaringkan lima gol tapi menentang pasukan lain kami mungkin terlepas terlalu banyak peluang," kata Courtois.

"Seperti ketika 2-2 di Emirates (4 Januari lalu) dan 0-0 serta hujung minggu lalu menentang Norwich, mungkin kami perlu menjaringkan lebih banyak gol susulan peluang yang kami cipta kerana saya fikir kami sudah cukup menekan, tapi kami perlu menyudahkannya juga."

Tiada silapnya dengan pendekatan permainan Chelsea ketika mereka merobek benteng Arsenal beberapa kali namun pertahanan Blues, Antonio Rudiger sedar gerakan serangan tidak berguna tanpa gol sebagai penyudah.


PERTAHANAN Chelsea, Antonio Rudiger (kanan) mengasak pemain Arsenal, Alex Iwobi pada separuh akhir pertama Piala Liga di Stamford Bridge, awal pagi kelmarin. - Foto AFP

"Saya fikir hantaran terakhir tidak menjadi, bahagian terakhir untuk menjaringkan gol. Tidak banyak peluang menentang Arsenal tapi tetap ada beberapa peluang. Kami perlu menyudahkannya," katanya.

Conte berazam untuk mencari penyelesaian masalah itu di padang latihan.

Namun pengendali dari Itali itu menegaskan bukan hanya penyerang patut dipersalahkan, merujuk kepada dua peluang tandukan pertahanan Andreas Christensen menentang Arsenal.

"Kami dibolosi gol kurang berbanding musim lalu, tapi kami tidak menyumbat gol seperti musim lalu. Kami harus meningkat," ujar Conte. - AFP

336 dibaca
Berita Harian X