Jumaat, 12 Januari 2018 | 10:20am
GELAGAT penyerang PSG, Neymar meraikan jaringan penalti. - Foto REUTERS

PSG bersemangat teruskan kempen kejuaraan

PARIS: Neymar dan Paris Saint-Germain meneruskan kempen mempertahankan kejuaraan Ligue 1 Perancis selepas rehat musim sejuk tradisi selama tiga minggu di kelab tangga kelima Nantes, hujung minggu ini.

PSG menuju ke Loire selepas membelasah pencabar Ligue 1, Rennes 6-1 dalam Piala Perancis dan menang 2-0 pada pertengahan minggu ke atas Amiens untuk layak ke separuh akhir Piala Liga.

Neymar menemui sasaran dalam dua kemenangan itu namun penjaring terbanyak liga, Edinson Cavani tidak beraksi selepas kembali lewat daripada percutian Krismas dan Tahun Baru di Uruguay.

Pemain Argentina, Javier Pastore turut diketepikan bagi aksi kelmarin selepas pulang lewat daripada percutiannya dan sudah diberi amaran oleh jurulatih Unai Emery.


PEMAIN PSG, Javier Pastore (kiri) menafikan sekeras-kerasnya dia mahu berpindah sebaliknya tetap setia bersama kelab Perancis itu. - Foto AFP

Kapten PSG, Thiago Silva mempersoalkan mengenai masa depan Pastore di kelab itu apabila berkata: "Saya percaya Pastore memberitahu kelab dia mahu berpindah tapi akhirnya mereka tidak mencapai persetujuan."

Pastore bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dia mahu berpindah dalam temu bual bersama Yahoo Sports dari Argentina hujung minggu lalu.

"Saya sukakan Paris dan sayang PSG," kata Pastore, kehadirannya pada 2011 membuka pintu perpindahan ramai pemain berbakat mengikut jejak langkahnya ke kelab itu.

"Percayalah saya tetap setia dengan kelab ini."

Ketika pertembungan besar Liga Juara-Juara menentang Real Madrid semakin menghampiri bulan depan, pasukan Emery berkunjung ke Nantes dengan kelebihan sembilan mata di depan penyandang juara Ligue 1, AS Monaco dan Lyon.

Memandangkan Nantes gagal mengatasi PSG dalam Ligue 1 sejak 2005, pelawat menyasarkan untuk menokok tiga mata lagi daripada 50 yang dikumpul setakat ini. - AFP

313 dibaca
Berita Harian X