Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:41am
PAPAN jaringan di Stadium Gelora Bangkalan Jawa Timur Indonesia menunjukan keputusan penuh perlawanan antara Madura United FC dan Kedah, malam tadi. - Foto FB Kedah FA

Kedah ikat Madura United untuk tempat ketiga

ALOR SETAR: Kedah melengkapkan aksi kejohanan Piala Super Suramadu di tempat ketiga selepas mengikat Madura United FC 2-2 di Stadium Gelora Bangkalan Jawa Timur Indonesia malam ini.

Keputusan kejohanan keseluruhan menyaksikan pasukan Madura United FC menjuarai Piala Super Suramadu pada tahun ini dengan mengumpul lima mata keseluruhan.

Persela pula menduduki tempat kedua dengan empat mata disusuli Kedah dengan tiga mata manakala Persija di tempat keempat dengan dua mata.

Dalam perlawanan malam ini, Madura United mendahului Kedah pada babak pertama dengan jaringan seawal minit ke-5 hasil jaringan Enggleberd Sani dan menambah satu lagi gol menerusi Marcel Sacramento pada minit ke-35.

Kedah bangkit pada babak kedua hasil gol pemain bek kanan Rizal Ghazali pada minit ke-65.

Disaat Madura menghitung masa untuk meraikan kemenangan pada minit akhir, penyerang kelahiran Sepanyol, Pablo Palares berjaya menafikan kemenangan Madura dengan sentuhan gol pertamanya pada minit ke-90.

Penolong Pengurus Pasukan Kedah, Haris Che Mat bagaimanapun bersyukur dengan semua keputusan positif yang dicapai pasukan Kedah sepanjang kejohanan Piala Super Suramadu yang bermula sejak 8 Januari lalu.

"Alhamdulillah..saya ucapkan terima kasih saya kepada semua pihak termasuk pihak pengurusan Piala Super Suramadu di Indonesia ini diatas layanan yang baik sepanjang berada di sini yang menyaksikan mereka mendapat satu pengalaman pramusim 2018 yang cukup baik dan memberi kesan yang positif buat kami."

"Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain saya rasakan ini adalah satu bekalan yang baik untuk kita bawa pulang dalam usaha untuk persediaan permulaan liga nanti terutamanya bagi menghadapi Piala Sumbangsih pada 3 Februari nanti."

"Sepanjang kejohanan Piala Super Suramadu ini, jurulatih Marcote berjaya mengadunkan pemain senior seperti Baddrol , Syazwan Zainon, Khairul Helmi dan lain lain bersama sama pemain import baru dan pemain muda dan akhirnya menghasilkan persembahan yang berkesan," katanya.

1783 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »