Sabtu, 13 Januari 2018 | 9:22pm
JURULATIH Felda United, B. Sathianathan memantau sesi latihan Felda United menjelang aksi Liga Malaysia 2018. - Foto Farizul Hafiz Awang

Kemenangan bukan ukuran: Sathia

KUALA LUMPUR: Walaupun memenangi semua lima perlawanan pemanas badan setakat ini dengan menjaringkan 15 gol dan hanya dibolosi dua kali, FELDA United dianggap belum menepati ciri sebuah pasukan yang bakal bergelar juara.

Jurulatihnya B Sathianathan berkata, masih ada kelemahan yang perlu diatasi dalam tempoh dua minggu menjelang perlawanan sulung Liga Perdana menentang UKM FC di Stadium Selayang, 2 Februari depan.

"Kalau kita tengok keputusan semua perlawanan persahabatan itu, memang sesuatu yang positif. Tapi, ia bukanlah gambaran sebenar kemampuan kami kerana saya yakin FELDA boleh memberi persembahan lebih baik daripada itu," kata Sathia.

"Jika perlawanan persahabatan ini menjadi ukuran, kami belum mencapai tahap pasukan yang bakal bergelar juara walaupun ada peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan komitmen serta prestasi semua pemain termasuk import baharu - Thiago (Junior), Gilberto (Fortunato) dan Iain (Ramsay) tapi secara berpasukan ia belum mencapai tahap yang saya mahukan."

Bagi Sathia, pemain-pemainnya masih belum mencapai keserasian dan beraksi sebagai satu unit terutama antara pemain lama dan baharu.

"Dua gol yang kami lepaskan dalam siri perlawanan persahabatan adalah berpunca daripada kelemahan ini. Jika berulang dalam perlawanan sebenar kelak, ia boleh membawa padah.

"Dalam bola sepak moden sekarang, setiap gerakan sama ada menyerang atau bertahan perlu dilakukan secara berpasukan, inilah yang saya mahu pemain lakukan," katanya.

Justeru jurulatih berpengalaman itu menuntut pemainnya memperbaiki kelemahan itu dalam beberapa lagi siri perlawanan persahabatan, antaranya, menentang Sarawak pada 17 Januari, FELCRA FC (20 Januari) dan PDRM FC (24 Januari).

Dalam lima perlawanan sebelum ini, FELDA membelasah ATM 6-0, mengalahkan PKNP 2-0, MOF 1-0, UKM 3-1 dan semalam menundukkan MISC MIFA 3-1.

651 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »