Ahad, 14 Januari 2018 | 10:06am
BUAT kali pertama dalam sejarah kelab, Chelsea melalui tiga keputusan seri tanpa jaringan selepas saingan Piala FA di Norwich, Piala Liga berdepan Arsenal dan terbaharu bertemu Leicester, malam tadi. - Foto Reuters

Chelsea makin penat: Conte

LONDON: Antonio Conte percaya jadual padat dilalui Chelsea dan kurang kekuatan dalam skuad menjadi penyebab juara bertahan itu bergelut kebelakangan ini.

Skuad kendalian Conte kekurangan tenaga dan ketajaman apabila mereka dipaksa seri 0-0 berdepan Leicester yang bermain 10 orang di Stamford Bridge, malam tadi.

Buat kali pertama dalam sejarah kelab itu, Chelsea melalui tiga keputusan seri tanpa jaringan selepas saingan Piala FA di Norwich dan Piala Liga berdepan Arsenal.


ALVARO Morata (kiri) cuba mencabar penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel. - Foto EPA

Tanpa pertahanan Leicester, Ben Chilwell yang dibuang padang pada minit ke-68 sekalipun tidak mampu menaikkan semangat Chelsea, yang nyata tidak dapat menandingi lawannya pada babak pertama selain mengambil kesempatan pada babak kedua.

Dengan perlawanan semula Piala FA berdepan Norwich akan hadir pada pertengahan minggu, bos Blues, Conte bimbang dengan tanda-tanda keletihan berikutan jadual padat pada Krismas dan tahun baharu.

"Kami bermain dalam keletihan. Kami banyak menderita pada babak pertama dan pada permulaan babak kedua," kata Conte.


PEMAIN Leicester, Ben Chilwell dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Chelsea. - Foto REUTERS

"Kami bermain bersungguh-sungguh menentang Arsenal pada Rabu dan kemudian bermain menentang pasukan yang sangat bagus dan fizikal baik bagus seperti Leicester pastinya amat sukar.

"Kami bermain hampir keseluruhan menggunakan pemain yang sama menentang Arsenal. Saya lihat ramai pemain keletihan. Saya lihat Eden (Hazard) sangat penat jadi dia dikeluarkan.


PEMAIN Leicester, Wilfred Ndidi mengasak pemain Chelsea, Eden Hazard (kiri) pada aksi liga di Stamford Bridge, malam tadi. - Foto EPA

"Apabila saya mengambil keputusan untuk mencari tenaga baharu dengan kemasukan Willian dan Pedro, permainan berubah. Kami mencipta peluang untuk jaringan tetapi pada penghujungnya, keputusan itu adil."

Conte menyatakan tahap tenaga Chelsea memberi kesan kepada keputusan kerana dia tidak memiliki pemain berkualiti dalam simpanan untuk terus memberikan kekuatan dalam pasukan dan beraksi pada tahap tertinggi. - AFP

1132 dibaca
Berita Harian X