Selasa, 16 Januari 2018 | 10:03pm
BEKAS penyerang Kedah, Ken Ilso Larsen memilih Pulau Pinang sebagai pasukan baharu. - Foto Amran Hamid
BEKAS penyerang Kedah, Ken Ilso Larsen memilih Pulau Pinang sebagai pasukan baharu. - Foto Amran Hamid

Ken Ilso pilih Harimau Kumbang

GEORGETOWN: Bukan PKNS FC menjadi pilihan Ken Ilso Larsen, sebaliknya bekas penyerang Kedah itu memilih Pulau Pinang sebagai pasukan baharunya apabila menandatangani kontrak secara rasmi dengan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), malam ini.

Desas-desus mengenai penyertaan penyerang yang memiliki ketinggian 1.83 meter itu bersama Harimau Kumbang sudah kedengaran sejak beberapa hari lalu dan kelibatnya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, jam 4.45 petang tadi mengukuhkan khabar angin berkenaan.

Naib Presiden FAP, Azizudin Shariff berkata, pihaknya gembira kerana berjaya memikat penyerang berusia 31 tahun yang meledak 21 gol daripada 26 perlawanan ketika mewakili Kedah, musim lalu.

"Kecemerlangan Ken Ilso sudah terbukti dengan rekod jaringannya bersama Kedah musim lalu. Kita harap dia mampu menunjukkan bisanya apabila beraksi bersama Pulau Pinang musim ini," katanya.

Pemain yang pernah digelar 'King Ken' sejak menyertai kelab Singapura, Home United dua tahun lalu pernah mencipta rekod menarik dengan kelab berkenaan apabila meledak 30 gol dalam 41 perlawanan.

Kejayaan Pulau Pinang menandatangani Ken Ilso bermakna penyerang itu menjadi pemain import keempat diikat Harimau Kumbang selepas Sanna Nyasi, Ugochukwu Ukah dan Kang Seung Jo.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X