Khamis, 18 Januari 2018 | 6:02am
PEMAIN Kedah meraikan jaringan pertama ketika bertemu PKNP FC pada aksi pramusim, malam tadi. - Foto Kedah FA

Kedah atasi PKNP aksi pramusim

ALOR SETAR: Dua gol pantas pada lewat perlawanan menerusi Baddrol Bakhtiar dan import baru Pablo Pallares membantu Kedah mengatasi PKNP FC 2-0 pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Universiti Utara Malaysia, Sintok malam tadi.

Baddrol menyumbat gol pembukaan selepas melencongkan satu sepakan percuma menarik pada minit ke-78 manakala Pallares menyempurnakan hantaran Akram Mahinan dari bahagian sayap kiri dua minit kemudian.

Ketua jurulatih Lang Merah, Ramon Marcote yakin kemenangan itu mampu menyuntik motivasi dalam kalangan pemainnya sekali gus meningkatkan prestasi ke tahap yang diingini.


PABLO Pallares muncul penjaring kedua Kedah ketika bertemu PKNP FC di Stadium Universiti Utara Malaysia, Sintok malam tadi. - Foto Kedah FA

"Memang saya gembira dengan keputusan positif ini tapi apa yang saya lebih fokus adalah untuk memastikan persediaan semua pemain berjalan mengikut rancangan dan di samping itu kami perlu mewujudkan suasana terbaik supaya mereka dapat meningkat lagi.

"Gandingan pemain senior terutama Baddrol, Khairul Helmi (Johari) dan Syazwan (Zainon) serta pemain muda menampakkan kesan baik selain dua import baru Alvaro Silva yang bertindak baik di bahagian pertahanan dan Pablo pula semakin serasi dengan corak permainan pasukan ini.

"Kita perlu teruskan lagi tekad dan usaha untuk meningkatkan permainan bagi memastikan persediaan terbaik menghadapi permulaan musim ini."


PEMAIN Kedah, Liridon Krasniqi (kanan) diasak pemain PKNP FC. - Foto Kedah FA

Berita Harian X