Khamis, 18 Januari 2018 | 1:21pm
KEHEBATAN Liverpool kendalian Juergen Klopp (kiri) mengasak serta penyudah tajam di depan gawang mendedahkan kelemahan benteng pertahanan City kendalian Pep Guardiola pada aksi di Anfield Ahad lalu. - Foto Reuters

City mahu lupakan duka Anfield

MANCHESTER, England: Manchester City berhasrat meneruskan kempen seperti biasa apabila mereka berdepan Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Sabtu ini.

Kekalahan 3-4 City kepada Liverpool di Anfield Ahad lalu membolehkan Manchester United merapatkan jurang kepada 12 mata dan menamatkan catatan 22 perlawanan tanpa kalah skuad Pep Guardiola dalam liga musim ini.

Kehebatan Liverpool mengasak serta penyudah tajam di depan gawang mendedahkan kelemahan benteng pertahanan City namun ia pasti satu kejutan besar jika Newcastle mahu meniru pendekatan itu, apatah lagi mengejutkan anak buah Guardiola.


CITY berhasrat meneruskan kempen seperti biasa apabila mereka berdepan Newcastle United di Etihad, Sabtu ini. - Foto AFP

Pasukan kendalian Rafael Benitez, di tangga ke-15 liga dan tidak menang dalam tiga perlawanan terakhir, hanya mampu menyumbat 21 gol dalam 23 perlawanan dan mungkin berusaha untuk mengecewakan City daripada terbabit dengan corak permainan terbuka.

Kedudukan City kekal selesa dan apa yang boleh dilakukan United, yang bertandang ke pasukan tangga ketujuh Burnley, adalah untuk terus mengutip mata dan berharap lawan merosot.

Kemenangan 3-0 United ke atas Stoke City, dengan Paul Pogba menyerlah, membuktikan mereka bangkit daripada kemeruduman musim cuti dan prospek Alexis Sanchez tiba dari Arsenal mencetus keyakinan penyokong mereka.

Antonio Conte kerap kali merungut pasukannya sukar mengejar namun mereka menjangkakan tiga mata daripada kunjungan ke pantai selatan untuk berdepan pasukan tangga ke-16, Brighton.

Brighton yang baru naik liga hanya meraih dua mata daripada empat perlawanan terakhir dan tiga mata di depan zon penyingkiran.

Bagaimanapun, Chelsea tidak menang dalam empat aksi terakhir mereka dan gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan sebelum aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA awal pagi tadi menang menerusi penentuan penalti ke atas Norwich City susulan seri 1-1 selepas masa tambahan.

Liverpool kendalian Juergen Klopp bertandang ke kelab tercorot Swansea City awal pagi Selasa ini dan selepas persembahan garang menentang City, mereka mahu melakar kemenangan keempat berturut-turut.

Theo Walcott, yang berpindah dari Arsenal, dijangka melakukan penampilan sulung buat Everton kendalian Sam Allardyce di laman sendiri menentang West Bromwich Albion.

Gunners, yang tewas kepada Bournemouth minggu lalu dan mungkin menyaksikan perpindahan Sanchez, berdepan aksi sukar di laman sendiri menentang Crystal Palace yang meningkat di bawah kendalian Roy Hodgson dan kini melonjak ke tangga ke-12. - Reuters

1023 dibaca
Berita Harian X