X
Ahad, 21 Januari 2018 | 10:15am

Rajagobal tambah bisa PKNS FC

KUALA LUMPUR: Kecil tapi berbisa. Cukup sesuai menggambarkan persiapan skuad PKNS FC yang tidak dianggap sebagai pilihan jika berdasarkan prestasi musim 2017, tetapi cukup rapi menyusun pasukan menghadapi saingan musim ini.

Kehadiran PKNS FC yang berjaya kekal dalam saingan Liga Super 2018 menambahkan lagi kehangatan 'derby Lembah Klang' - selepas skuad Kuala Lumpur kembali menghangatkan saingan bersama Selangor.Lebih menarik, PKNS FC mengikat bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk mengemudi pasukan dengan sasaran berada dalam kelompok lima teratas liga.

PASUKAN PKNS FC musim 2018 bergambar sebelum menentang Hanelang FC pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam. - Foto Asyraf Hamzah
PASUKAN PKNS FC musim 2018 bergambar sebelum menentang Hanelang FC pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam. - Foto Asyraf Hamzah

PEMAIN PKNS FC meraikan jaringan gol pada aksi persahabatan antara pasukan PKNS FC di Stadium Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PEMAIN PKNS FC meraikan jaringan gol pada aksi persahabatan antara pasukan PKNS FC di Stadium Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Sama seperti pasukan lain, PKNS FC juga begitu rancak mempersiapkan pasukan dan ia ketara menerusi pembelian pemain yang dilakukan sepanjang tempoh rehat, selain mengekalkan beberapa tonggak lama. Namun bukan soal pemain yang jadi topik utama, sebaliknya tumpuan pasti lebih terarah kepada magis yang bakal dipamerkan Rajagobal.

Kualiti yang ada pada Rajagobal tidak perlu dipertikaikan lagi ketika beliau muncul jurulatih skuad kebangsaan paling berjaya dalam era bola sepak moden.

Dengan persiapan rapi yang dilakukan, impian untuk berada dalam kelompok lima terbaik nyata bukan masalah besar sekiranya gabungan pemain yang dimiliki mampu menyerap aura 'Sang Juara' yang ada pada Rajagobal.

Sebaliknya jurulatih yang pernah membantu Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF pada 2010 itu tidak mahu terlalu dilambung pujian rekod lampau kerana bola sepak sentiasa berubah dan memaksa beliau bekerja lebih keras.

"Kami perlu memastikan pemain berada pada kecergasan maksimum sebelum musim bermula. Daripada perlawanan persahabatan, saya mahu dedahkan pemain dengan aksi berintensiti tinggi.

"Saya mahu pemain lebih fokus dan kekal berdisiplin. Bukan saja ketika menyerang tetapi ketika hilang bola dan paling penting pemain faham apa yang perlu dilakukan," katanya.

Bagi tonggak PKNS FC, Safee Sali, perwatakan dan aura Rajagobal itu sendiri sudah berjaya menaikkan moral serta semangat pasukan dan paling penting, keharmonian yang dipupuk di bilik persalinan dan di padang berjaya membentuk persefahaman antara pemain.

Safee yang turut dikenali SuperSafee pernah berlatih di bawah kendalian Rajagobal ketika menyarung jersi Harimau Malaya dan faktor itu memudahkan dia mendalami apa yang dimahukan. Apa kata mereka: "Saya pernah berada di bawah bimbingannya.

Kali ini, pendekatannya sedikit berbeza dan perubahan turut dilakukan ke arah bola sepak moden.

"Kadang kala, saya turut bertukar pandangan dengan pemain lain. Setakat ini, pemain dapat memahami apa yang dimahukan," Safee Sali, kapten PKNS FC

"Saya mahu pemain lebih fokus dan kekal berdisiplin. Bukan saja ketika menyerang tetapi ketika hilang bola dan paling penting pemain faham apa yang perlu dilakukan," Datuk K Rajagobal, jurulatih PKNS FC

Berita Harian X