Selasa, 23 Januari 2018 | 7:21am
ALEXIS Sanchez menandatangani kontrak yang dikatakan selama empat setengah tahun dengan Manchester United dan menjadikannya pemain dengan gaji termahal di Liga Perdana Inggeris.

Sanchez teruja sertai United

LONDON: Alexis Sanchez berkata dia 'teruja menyertai kelab terbesar dunia' apabila berpindah ke Manchester United dari Arsenal dalam perjanjian yang turut membabitkan pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan.

Penyerang Chile berusia 29 tahun itu yang hampir menyertai Manchester City musim panas lalu, menandatangani kontrak yang dikatakan selama empat setengah tahun yang akan menjadikannya pemain dengan gaji termahal di Liga Perdana Inggeris.

Sanchez dilaporkan akan menerima gaji sebelum cukai sebanyak STG500,000 (RM2.75 juta) seminggu.

Pemain sayap dari Armenia Mkhitaryan, 29, sebaliknya akan menghala ke Stadium Emirates selepas tidak lagi menjadi pilihan pengurus United Jose Mourinho sepanjang 18 bulan di Old Trafford.

Sanchez menyertai Arsenal dengan bayaran STG31.7 juta (RM174.4 juta) pada 2014 selepas tiga tahun di Barcelona namun hubungannya dengan Gunners menjadi semakin keruh selepas dia cuba untuk menyertai City tahun lalu.

Dalam posnya di Instagram, dia membalas kenyataan bekas pemain Arsenal yang mengkritik sikapnya.

"Ada orang (bekas pemain kelab) yang bercakap tanpa pengetahuan terhadap apa yang berlaku di dalam kelab dan mencetuskan masalah," tulis Sanchez.

"Saya perlu katakan yang saya sentiasa memberikan 100 peratus hingga ke hari terakhir apabila saya bercakap dengan Arsene Wenger mahu terus bersama pasukan kerana saya ingin memberi sumbangan."

Minggu lalu bekas pertahanan Arsenal, Martin Keown menggelar Sanchez sebagai 'askar upahan bola sepak'.


ALEXIS Sanchez menjadi pemain Chile pertama bermain untuk skuad utama United. - Foto MUFC

Dalam kenyataan dikeluarkan United, Sanchez berkata dia menghabiskan 'tiga setengah tahun yang menakjubkan' di Arsenal dan 'saya membawa dengan kata kenangan positif kelab dan penyokong yang hebat'.

Merujuk kepada Old Trafford, dia berkata: "Peluang bermain di stadium bersejarah dan bekerjasama dengan dengan Jose Mourinho adalah sesuatu yang tidak boleh ditolak.

"Saya berbangga menjadi pemain Chile pertama bermain untuk skuad utama United dan berharap dapat menunjukkan kepada peminat di seluruh dunia mengapa kelab mahukan saya berada di sini." - AFP

5206 dibaca
Berita Harian X