Jumaat, 26 Januari 2018 | 11:48pm
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger menyelar The Gunners selepas bekas pemainnya, Alexis Sanchez terlepas menjalani ujian doping yang dijadual pada isnin sama tarikh perpindahannya ke United. - Foto AGENSI

Arsenal harus dipersalahkan - Wenger

LONDON: Arsene Wenger menegaskan betapa Arsenal harus dipersalahkan seandainya Alexis Sanchez terlepas ujian dadah rutin pada hari sama dia sedang melengkapkan pemindahan ke Manchester United.

Laporan media British melaporkan penyerang Chile itu sudah pun melanggar peraturan Persatuan Bola Sepak (FA) apabila tidak menjalani ujian doping yang dijadual pada Isnin - hari sama yang menyaksikan pemindahannya ke seteru Liga Perdana Inggeris, United dilengkapkan.

Salah satu peraturan dalam Liga Perdana Inggeris menggariskan pemain diberi tanggungjawab mengemaskini setiap maklumat peribadi mereka termasuk lokasi terkini.

Sistem berkenaan bertujuan memudahkan pihak bertanggungjawab mengenai anti doping untuk menjalankan ujian.

Lokasi terkini Sanchez berubah pada Isnin apabila dia berpindah ke Manchester United, meskipun jelas yang penyerang Chile itu secara teknikalnya masih berdaftar sebagai pemain Arsenal ketika kemungkinan pelanggaran peraturan berkenaan berlaku.

"Ia hari yang buruk buatnya untuk diuji," kata pengurus Arsenal, Wenger kepada wartawan. "Jujurnya, daripada sudut pengurusan, ia masih lagi di bawah tanggungjawab kami kerana dia masih belum berpindah.

"Kami tidak mempunyai niat untuk menyembunyikannya - dan kami tidak ada apa yang perlu disorokkan," tambah pengurus veteran dari Perancis itu.

"Pada Isnin banyak perkara yang berlaku, ia satu hari yang istimewa buat Alexis Sanchex - kamu perlu melakukan kertas kerja dan meneruskan perjalanan."

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City dilaporkan berminat untuk mengikat Sanchez sebelum mendapati Gunners dilaporkan meletakkan nilai STG35 juta (RM192 juta) selain tuntutan tinggi daripada pemain berkenaan.

Ia secara tidak langsung membuka jalan buat United untuk melakukan pertukaran terus yang menyaksikan Henrikh Mkhitaryan menyertai Arsenal. - AFP

Berita Harian X