Rabu, 31 Januari 2018 | 6:48am
OLIVIER Giroud (kiri) kini terdesak mencari pasukan baru bagi memastikan tempat dalam skuad Piala Dunia Perancis terjamin. - Foto Reuters

Giroud ke Chelsea?

SWANSEA: Olivier Giroud bermula di bangku simpanan ketika berkunjung ke Swansea awal pagi tadi beberapa jam selepas laporan menyatakan penyerang Perancis itu bersetuju berpindah ke Chelsea dengan harga STG18 juta (RM99.34 juta).

Dengan penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang dalam genggaman, pengurus Gunners, Arsene Wenger sedia melepaskan Giroud tetapi masih menyenaraikan pemain itu sebagai pemain simpanan di Stadium Liberty.

Chelsea berminat mendapatkan Giroud sebelum tamat tempoh jendela perpindahan dengan penyerang Blues, Michy Batshuayi berkemungkinan menuju Borussia.


KOMBINASI tiga penyerang yang saling berkaitan pada perpindahan kali ini dengan Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) akan ke Arsenal, Chelsea berminat mendapatkan Giroud dan penyerang The Blues, Batshuayi (kanan) berkemungkinan menuju Dortmund. - Foto EPA

Kedatangan Aubameyang di saat akhir sudah dijangka kerana Gunners mahu mendapatkan terlebih dahulu pengganti sebelum melepaskan Giroud.

Laporan menyatakan kelab utara London itu membayar STG55 juta (RM303.55 juta) sekali gus memecahkan rekod perpindahan buat kali kedua dalam masa enam bulan selepas membeli Alexandre Lacazette dari Lyon.


PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger sedia melepaskan Giroud tetapi mahu mendapatkan terlebih dahulu pengganti sebelum melepaskan pemain itu.- Foto Reuters

Walapun Dortmund berminat mendapatkan Giroud namun Chelsea lebih menunjukkan kesungguhan membeli pemain berusia 31 tahun itu.

Giroud hanya beraksi dalam satu perlawanan liga dan terdesak mencari pasukan baru bagi memastikan tempat dalam skuad Piala Dunia Perancis terjamin. - AFP

2521 dibaca
Berita Harian X