Sabtu, 3 Februari 2018 | 12:34am
PEMAIN Tottenham meraikan kejayaan menewaskan Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris, baru-baru ini. - Foto REUTERS

Peluang terbaik Spurs pintas Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

Manchester City hampir pasti menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Kemenangan 3-0 ke atas West Brom pada pertengahan minggu ini kembali menjarakkan kedudukan mereka kepada 15 mata di puncak liga.

Ini selepas pencabar terdekat, Manchester United terkedu di Wembley selepas ditundukkan Tottenham Hotspur, 2-0. Penyandang juara, Chelsea yang juga berpotensi untuk menyekat City, turut kecundang.

The Blues diaibkan 3-0 oleh Bournemouth untuk sekali gus ketinggalan 18 mata di belakang skuad Citizens selepas 25 perlawanan. Ini bermakna City hanya memerlukan lapan lagi kemenangan daripada baki 13 aksi untuk bergelar juara.

Dengan kedudukan terbaharu ini, bermakna saingan EPL selepas 25 perlawanan tidak lagi bertumpu kepada perebutan kejuaraan. Sebaliknya, ia bagi memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Setakat ini United masih pada kedudukan kedua dengan himpunan 53 mata berbanding 68 dikumpul City, manakala Liverpool dan Chelsea terikat 50 mata. Tottenham Hotspur di tangga kelima dengan 48 mata.

Arsenal yang kini diperkuatkan oleh bekas bintang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang dengan rekod kelab 56 juta pound (RM310.1 juta), ketinggalan jauh dengan 42 mata selepas dikejutkan Swansea City, 1-0.

Apapun, saingan yang berbaki 13 minggu lagi itu seharusnya terus menjanjikan saingan lebih sengit tatkala semua pasukan bertanding memiliki misi penting untuk dilunaskan.

Ini termasuk Liverpool yang akan melayan kunjungan Spurs di Anfield pada tengah malam Isnin ini waktu Malaysia. Pada pertengahan minggu, skuad The Reds bangkit bergaya menundukkan Huddersfield 3-0 manakala Spurs pula membuktikan mereka bukan lagi mudah untuk dijinakkan United.

Jadi apa yang kita jangkakan daripada pertembungan dua kelab gergasi EPL ini? Pertamanya sudah pasti, dorongan untuk mengutip mata penuh. Dengan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dua mata, tiada pasukan mahu kalah aksi ini.

Meniti rekod lalu pertembungan kedua-dua pasukan ini, jelas ia tidak menyebelahi Spurs. Meskipun mereka menewaskan anak buah Jurgen Klopp 4-1 di Wembley pada aksi pertama, ia boleh dianggap kemenangan terpencil.

Sebetulnya, kelab berkenaan tidak pernah menang ke atas The Reds dalam 10 pertemuan bagi semua pertandingan termasuk kekalahan 5-0 di White Hart Lane pada Disember 2013 yang menyaksikan pengendali ketika itu, Andre Villas-Boas dipecat kemudian.

Daripada 25 pertemuan kedua-dua pasukan di Anfield setakat ini, boleh dianggap berat sebelah, dengan Tottenham hanya menang dua kali. Kali terakhir kelab ini menang di situ adalah pada Mei 2011, iaitu 2-0. Persoalannya, adakah Spurs mampu memadam badi pada pertemuan kali ini.

Satu lagi aksi ini harus menjadi tumpuan kerana ia bakal mempertemukan dua penyerang berbahaya EPL, Harry Kane dan Mohamed Salah. Siapakah yang bakal menyerlah untuk menceriakan pasukan di penghujung saingan? Tunggu.

Sementara itu, City akan berkunjung ke laman Burnley. Persoalan menarik di sini, mampukah tuan rumah itu mengejutkan anak buah Guardiola selepas mereka melakukannya ke atas beberapa kelab gergasi sebelumnya?

Bagi aksi lain, United akan melayan kunjungan Huddersfield untuk mencari motivasi selepas ditundukkan Spurs, manakala Chelsea pula berkunjung ke Watford untuk kembali bangkit. Selamat menonton.

RAMALAN MINGGU ke-26

Burnley 1 Manchester City 3

Manchester United 2 Huddersfield 0

West Brom 1 Southampton 2

Bournemouth 1Stoke City 1

Leicester City 2 Swansea City 2

Brighton 1 West Ham 2

Arsenal 3 Everton 1

Crystal Palace 2 Newcastle United 2

Liverpool 2 Tottenham 1

Watford 1 Chelsea 4

* Penulis adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X