Ahad, 4 Februari 2018 | 2:39pm
PENGENDALI Chelsea, Antonio Conte tegaskan spekulasi membabitkan masa depannya tidak mengganggu fokusnya dalam membantu Chelsea menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan empat terbaik. - Foto Reuters

Conte janji hormati kontrak Chelsea 

LONDON: Antonio Conte menegaskan spekulasi membabitkan masa depannya tidak mengganggu fokusnya dalam membantu Chelsea menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan empat terbaik.

Juara Inggeris itu perlu bangkit daripada kekalahan memalukan 3-0 di laman sendiri oleh Bournemouth, Rabu lalu yang menyaksikan hubungan Conte dengan pegawai tertinggi Chelsea bertambah goyah.

Pengendali dari Itali itu sebelum ini menggambarkan persiapannya bagi mengharungi perlawanan itu sebagai 'bencana' selepas terpaksa mengharungi minggu yang padat sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Situasi itu menyebabkan Conte dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Itali tetapi selepas mengemudi Chelsea menjuarai EPL musim lalu, dia mengulangi hasratnya untuk kekal sehingga kontraknya berakhir pada 2019.

"Saya masih mempunyai baki kontrak dengan Chelsea selama 18 bulan," kata Conte. "Keinginan saya, kehendak saya dan hasrat saya adalah untuk menghormati kontrak berkenaan."

Kemenangan Bournemouth di Stamford Bridge pertengahan minggu ini membangkitkan kembali memori ketika Chelsea tewas pada aksi pembukaan kepada Burnley yang menjadi petanda cabaran sukar menanti Conte pada musim keduanya.

"Sejak dari permulaan musim selepas kekalahan kami kepada Burnley, ada banyak spekulasi mengenai pemecatan saya," kata Conte.

"Tetapi saya tidak berminat dengannya dan satu-satunya keinginan saya adalah terus bekerja, fokus kepada pasukan dan cuba untuk melakukan yang terbaik dengan pasukan ini.

"Saya percayakan kerja saya dan ini satu-satunya cara membawa saya menjadi salah seorang pengurus terbaik. Saya tidak mempercayai perkara lain, hanya kerja dan tugas saya."

Skuad Chelsea memperoleh tenaga baharu dengan kehadiran bekas penyerang Arsenal, Olivier Giroud dan Emerson Palmieri pada hari terakhir perpindahan pemain tetapi Conte tidak menjangkakan kedua-duanya cukup cergas untuk mencetuskan impak serta merta. - AFP

1087 dibaca
Berita Harian X